Usamah bin Zaid – Kerana Pesan Nabi

1 year ago 248

Hari ini, kita lihat betapa murahnya darah umat Islam terutamanya di negara-negara yang memiliki majoriti penduduk bukan Islam

Sedangkan, orang bukan Islam yang menetap di negara-negara umat Islam, tidaklah pula begitu. 

Mereka bahkan diberikan kebebasan seluasnya untuk mengumpulkan kekayaan lagi. Sebaliknya, umat Islam di negara tersebut ingin makan pun susah.

A beggar extends his hand for money at a street in Hyderabad January 21, 2007. REUTERS/Krishnendu Halder/Files

Lebih parah, apabila sehingga mencetuskan pertumpahan darah umat Islam. 

Lihatlah apa yang berlaku di Myanmar akibat daripada sentimen keagamaan, umat Islam Rohingya diusir daripada negara mereka sendiri. 

Lihatlah pula di Palestin. Umat Islam dibunuh sesuka hati oleh regim penjajah Israel. 

Lihatlah juga di Syria, Iraq dan Yaman. Dek ketidak stabilan politik, umat Islam berperang sesama sendiri.

Bagaikan Membunuh Seluruh Manusia

Bukankah Allah SWT sudah mengikatkan kita tentang nilai nyawa manusia? 

Allah berfirman yang bermaksud: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil. 

Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi. 

Maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia. 

Maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…” - QS Al-Maaidah 5:32

Menurut Ibn Kathir, ayat ini merupakan rentetan daripada kisah pembunuhan pertama manusia iaitu kisah terbunuhnya Habil di tangan saudaranya Qabil.

Lalu, ayat ini menjadi peringatan kepada Bani Israel bahkan kepada umat Islam juga untuk tidak meremehkan urusan yang melibatkan nyawa manusia. 

Melainkan atas sebab-sebab yang dibenarkan seperti hukuman qisas dan juga untuk menghentikan kerosakan yang dilakukan golongan tertentu.

Maka, bukan mudah-mudah untuk darah seorang manusia itu ditumpahkan. 

Lebih-lebih lagi darah seorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah. 

Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan, Nabi SAW bersabda: 

“Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan bahawa aku adalah utusan Allah kecuali dengan tiga sebab.

Orang yang sudah berkahwin tetapi berzina, membunuh orang lain dengan sengaja dan meninggalkan agamanya serta berpisah dari jemaahnya."           - Riwayat Al-Bukhari

Pesan Nabi kepada Usamah

Siapa yang tidak mengenali sosok bernama Usamah bin Zaid? 

Seorang pemuda yang memimpin pasukan tentera pasca kesyahidan ayahnya di medan Mu’tah. 

Anak kepada orang yang dikasihi oleh Nabi SAW, Zaid bin Harithah. Manakala ibunya pula ialah Ummu Aiman, pengasuh Rasulullah SAW. 

Imam Abu Daud meriwayatkan satu kisah yang berlaku kepada diri Usamah.

Kata Usamah: “Rasulullah SAW telah mengutuskan kami sebagai pasukan sariyyah ke al-Hurqat.

Namun, pihak musuh telah menyedar kehadiran kami lalu bertindak melarikan diri. 

Ketika itu kami berjaya menemui salah seorang daripada mereka. 

Tatkala kami ingin menangkapnya, dia berkata: “Tiada Tuhan Melainkan Allah.”

Namun, kami telah memukulnya sehingga dia terbunuh

Lalu, aku menceritakan perkara ini kepada Nabi SAW. 

Lalu Baginda bersabda: “Siapakah engkau dengan kalimah itu pada hari kiamat?” 

Aku membalas: “Dia menyebutkan kalimah tersebut kerana takut.” 

Baginda menjawab: “Adakah engkau telah merobek hatinya sehingga engkau tahu bahawa hatinya bermaksud sedemikian atau tidak? 

Siapakah engkau dengan kalimah itu pada hari kiamat?” 

Usamah berkata: “Baginda SAW mengulangi pertanyaan itu berkali-kali sehingga aku merasakan aku memeluk Islam ketika itu.”

Memegang Pesan Nabi

Begitu besar sekali pesanan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Usamah itu. 

Sejak itu, beliau berikrar tidak akan menumpahkan lagi darah orang Islam. 

Hal ini terbukti apabila beliau langsung tidak terlibat dengan konflik yang berlaku antara khalifah Ali bin Abu Talib dan Muawiyyah bin Abu Sufyan. 

Konlifk ini telah mencetuskan peperangan saudara sesama Islam dan mengorbankan begitu banyak nyawa.

Ibn al-Athir mencatatkan dalam Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al Sahabah  bahawa Usamah bin Zaid tidak memberikan baiah kepada Khalifah Ali bahkan tidak mengikuti sebarang peperangan bersamanya. 

Kata Usamah kepada Khalifah Ali: “Sekiranya engkau memasukkan tanganmu ke dalam mulut naga sekalipun, aku pasti akan memasukkannya sekali.

Namun engkau juga telah mendengar sabda Rasulullah SAW kepadaku tatkala aku telah membunuh orang yang mengucapkan kalimah syahadah.”

Kita dapati betapa Usamah memahami cara untuk mengelakkan diri daripada fitnah.

Beliau sebaliknya hanya duduk di rumahnya sahaja tanpa melibatkan diri dengan semua itu. 

Bukan kerana benci tetapi kerana beliau pernah ditegur dan dimarahi oleh Nabi SAW. 

Kemarahan tersebut bukanah kemarahan yang biasa-biasa.

Rujukan:

Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, Ibn al-Ahir.

Al-Qur'anul Karim, Surah Al-Maaidah 5:32

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Read Entire Article