Tukang masak dipukul syukur pelajar tahfiz datang bantu

1 month ago 31

KOTA BHARU: Wanita yang dipukul dalam kejadian amuk di Masjid Pulau Melaka di sini semalam bersyukur apabila sekumpulan pelajar tahfiz datang menyelamatkannya selepas ditendang dan dipijak bertubi-tubi oleh seorang lelaki.

W. Faudilah W. Abdullah, 57, yang merupakan tukang masak di sebuah maahad tahfiz berkata, kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila lelaki yang akhirnya maut dalam pergelutan dengan seorang pengawal keselamatan itu meluru datang ke arahnya.

Katanya, dia yang ketika itu sedang menunggang motosikal melalui kawasan masjid berkenaan tersentak apabila lelaki tersebut datang dan terus menendangnya.

“Saya terbaring dalam keadaan mengiring dan lelaki terbabit bertindak menyepak dan memijak bertubi-tubi di belakang, kepala dan bahu saya.

“Mujur kejadian itu disedari beberapa pelajar tahfiz yang berada di tingkat atas masjid apabila mereka terus bergegas turun menyelamatkan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, hari ini.

W. Faudilah memberitahu, kejadian itu menyebabkan dia mengalami lebam pada lengan, belakang badan dan tengkuk sebelum dipapah masuk ke dalam rumah warden yang terletak berhampiran masjid.

Katanya, sebelum kejadian itu, dia turut terdengar lelaki terbabit melaungkan bahawa ‘dia merupakan dajal yang dihantar oleh tuhan’ sambil menepuk dadanya beberapa kali.

“Saya agak pelik dengan perbuatan itu, namun tidak mengendahkan situasi tersebut kerana dia nampak seperti  manusia normal. Tetapi, dia secara tiba-tiba datang menendang dan memukul saya.

“Isteri warden asrama maahad itu terus membawa saya ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk membuat laporan. Selepas itu, anak kepada warden itu membawa saya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya.

W. Faudilah berkata, dia bernasib baik tidak mengalami kecederaan patah pada bahagian belakang dan bahu akibat di pijak dan ditendang lelaki terbabit. – UTUSAN

The post Tukang masak dipukul syukur pelajar tahfiz datang bantu appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article