Tujuh terbunuh serangan di Kherson dan Zaporizhzhia

1 month ago 24

KHERSON: Serangan Russia ke atas kawasan perumahan di bandar Kherson di selatan Ukraine menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan enam lagi cedera, lapor pihak berkuasa tempatan.

Bahagian hadapan di selatan Ukraine agak sunyi berbanding di timur baru-baru ini selepas Moscow berundur dari bandar Kherson pada November tahun lepas.

Tetapi bandar utama wilayah Kherson masih kerap berdepan  serangan dari Russia.

“Meriam musuh merempuh kawasan perumahan di bandar itu. Serangan menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita maut sementara enam lagi cedera,” jelas kenyataan pentadbiran wilayah Kherson di media sosial.

Tambahnya, beberapa kemudahan awam turut rosak teruk akibat serangan itu termasuk Hospital Klinikal Wilayah Kherson, sekolah, stesen bas, pejabat pos, bank dan bangunan kediaman.

Antara mangsa yang cedera ialah seorang jururawat dan pekerja kafeteria hospital berkenaan.

Sementara itu, pegawai yang dilantik Moscow berkata, Kyiv bertindak melanggar jambatan kereta api, membunuh empat orang di wilayah Zaporizhzhia yang berdepan pertempuran sengit sejak beberapa hari lalu.

“Ukraine melakukan serangan daripada pelancar roket berbilang, HIMARS ke arah jambatan kereta api merentasi sungai Molochnaya kelmarin.

“Empat orang dari briged kereta api terbunuh manakala lima lagi cedera,” Ketua Wilayah dilantik Russia, Yevgeny Balitsky di media sosial.

Menurut Balitsky, jambatan itu terletak di sebuah kampung di utara bandar Melitopol yang dikawal Russia dan sedang menjalani pembaikan.

 Russia mendakwa telah menggabungkan wilayah Zaporizhzhia dan Kherson bersama dua wilayah Ukraine yang lain di timur, tetapi tidak mengawal sepenuhnya wilayah-wilayah itu.-AFP

The post Tujuh terbunuh serangan di Kherson dan Zaporizhzhia appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article