Tuduh PM Takut Kepada Presiden… Dap Penghasut, Pengadu Domba – Ahmad Zahid

2 months ago 46

KUALA LUMPUR, 28 Sept – Tuduhan yang dibuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa beliau takut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sememangnya menggambarkan bahawa Dap licik, penghasut dan mengadu domba.

Ini kerana kata Ahmad Zahid, Perdana Menteri tidak perlu berasa takut berhubung isu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kerana musyawarah sentiasa terjalin dan Dap yang perlu untuk berasa sedemikian.

“Sememangnya Dap takut kepada Presiden UMNO, tetapi Perdana Menteri pula mereka tuduh takut. Inilah watak penakut yang licik, penghasut lagi mengadu domba. Sedangkan hal yang sepatutnya diperkatakan adalah ‘Perdana Menteri tidak perlu takut dengan desakan Dap jangan mengadakan PRU ke-15 sekarang’.

“PM tidak perlu takut ugutan Dap kerana beliau Perdana Menteri Malaysia, bukan Perdana Menteri menjaga kepentingan Dap yang gusar untuk berdepan mandat rakyat. Rakyat malah yakin Perdana Menteri akan bertindak sebagai seorang Perdana Menteri kepada negara dan bukannya pengikut telunjuk pemimpin Dap atau Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Ismail Sabri tidak perlu bimbang dengan ancaman Dap serta Memoradum Persefahaman (MoU) yang sebenarnya telah berakhir pada Julai lalu.

“Jangan bimbang dengan ancaman Dap berhubung MoU yang penuh kepura-puraan kerana PH tidak akan pernah bersama Perdana Menteri kecuali demi muslihat tertentu. MoU untuk kepentingan politik PH yang sebenarnya telah berakhir Julai lalu itu tidak akan melindungi Perdana Menteri daripada kerakusan dan kezaliman politik musuh UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Saksikan PH secara terbuka sedang menyerang Perdana Menteri dalam isu ekonomi selepas menolak tawaran kerjasama bagi berkongsi idea dengan pasukan khusus menangani inflasi,” katanya lagi.

Ahmad Zahid turut mempersoalkan niat pihak lawan yang ingin menunda PRU ke-15 kerana bimbangkan musibah banjir atau sekadar untuk mengelak daripada berdepan dengan penentuan rakyat.

“Seperti saya pernah nyatakan beberapa hari lalu, persoalan sebetulnya apakah benar lawan tidak mahu PRU ke-15 diadakan kerana bimbangkan banjir? Jujurkah mereka dengan alasan tersebut atau ia sekadar satu lagi muslihat untuk mengelak daripada perlu berdepan dengan penentuan rakyat?

“Saksikan sejak kerajaan gagal 22 bulan tumbang pada Februari 2020, pesaing UMNO/BN teramat takut mandat akan diserahkan semula kepada rakyat. Sudah lebih dua tahun mereka berikhtiar untuk menyekat rakyat dibenarkan menunaikan hak demokrasi mereka bagi memilih sebuah kerajaan baharu,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Zahid lagi, Jabatan Meteorologi Malaysia turut menafikan bahawa banjir besar akan berlaku pada hujung November tahun ini dan sebenarnya musibah itu lebih menuntut PRU diadakan dengan segera bagi menjaga kebajikan rakyat.

“Kemungkinan banjir besar tiada siapa dapat meramalkan dengan tepat, malah Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini juga menafikan pasti banjir besar pada hujung November 2022.

“Sekali lagi saya menegaskan kemungkinan banjir besar hujung tahun lebih menuntut PRU ke-15 diadakan sekarang agar kebajikan rakyat diuruskan oleh sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh. Kita tidak mahu insiden percanggahan dalam urusan membantu mangsa banjir berulang akibat daripada sebahagian pimpinan kerajaan parti lawan terlalu merancang agenda politik,” katanya lagi.

Katanya lagi, kerajaan yang kukuh dan stabil juga perlu dibentuk untuk melindungi negara serta tidak mahu imej Kerajaan terus disabotaj oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita juga tidak mahu kemelut ‘tutup pintu depan, buka pintu belakang’ terus berlaku dalam pentadbiran kerajaan kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat dan negara. Kerajaan yang kukuh dan stabil perlu juga dibentuk sekarang bagi membentengi negara daripada risiko kemelesetan ekonomi global yang diramalkan pada tahun depan.

“Lagi pun kita tidak mahu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terus mengambil kesempatan mensabotaj imej kerajaan menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi MPN. Sebab itu kita perlu adakan PRU ke-15 sebelum kemungkinan terjadi banjir walaupun kita amat yakin terhadap kemampuan SPR menjayakan demokrasi dalam apa jua situasi,” katanya lagi. – UMNO Online

Read Entire Article