Tiga penyakit berjangkit kini ancam manusia!

1 month ago 38

Penyakit berjangkit bermaksud yang boleh tersebar daripada seseorang kepada orang lain yang disebabkan oleh pelbagai jenis kuman termasuklah bakteria, virus, kulat dan parasit.
Pada 2020, seluruh dunia dikejutkan dengan ancaman penyakit berjangkit Covid-19. Sejak itu, masyarakat dunia lebih berhati-hati dan mempelajari cara-cara mengatasi masalah penyakit berjangkit supaya dapat menjamin nyawa dan kehidupan manusia.
Selain Covid-19, beberapa penyakit berjangkit muncul kembali dan berlaku peningkatan kes termasuk Influenza, penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) dan RSV. Di sebalik peningkatan kes penyakit tersebut, ramai keliru perbezaan simptom dan cara rawatan yang sesuai.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pantai Hospital Penang, Dr. Hasanah Ishak, influenza, HFMD dan RSV adalah penyakit jangkitan virus yang senang merebak dan kesnya sangat ketara terutamanya dalam kalangan kanak-kanak sejak kebelakangan ini.
Beliau menjelaskan, influenza, kata singkatnya flu adalah penyakit saluran pernafasan yang senang berjangkit, boleh menyerang sesiapa sahaja dan berbahaya pada kumpulan umur tertentu terutamanya kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, warga emas 60 ke atas, ibu mengandung dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, penyakit jantung, diabetes dan lain-lain.
“Influenza berbeza daripada selesema biasa, gejala biasanya ringan, boleh jadi teruk dan boleh membawa kepada kematian. Gejalanya, demam tinggi pada 2 hingga 3 hari pertama, berhingus, sakit tekak, sakit badan, batuk teruk, sakit kepala, letih dan kadang-kadang muntah dan cirit birit.
“Ia boleh menyebabkan komplikasi jangkitan kuman paru-paru (pneumonia), jangkitan dalam telinga dan sinus. Influenza merebak melalui titisan air (droplets) bila pesakit batuk, bercakap atau bersin. Ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan,” katanya.
Dr. Hasanah menjelaskan, doktor boleh mengesan influenza berdasarkan gejala yang dialami dan dikenal pasti dengan ujian swab dari titisan hingus hidung dan tekak.
Rawatan influenza biasanya menggunakan rawatan khusus iaitu antivirus Oseltamivir. Oseltamivir lebih berkesan jika diberi pada peringkat awal jangkitan iaitu 48 jam dari gejala bermula.
Pencegahan harian boleh dilakukan jika kita menjauhkan diri daripada pesakit bergejala dan menjaga kebersihan, contohnya batuk menggunakan kertas tisu dan mencuci tangan dengan air dan sabun atau sanitizer. Selain itu, influenza boleh dicegah atau dikurangkan keterukannya dengan mengambil vaksin influenza pada setiap tahun.
Dalam pada itu, Dr. Hasanah memberitahu, HFMD disebabkan oleh kuman enterovirus, paling senang merebak dan sering terjadi pada kanak kanak terutamanya berusia lima tahun

ke bawah. Ia menyebabkan ulser dalam mulut, tepi bibir dan ruam lepuh di tangan dan kaki, lutut, siku dan punggung.
“Kebanyakan kanak-kanak mempunyai gejala ringan seperti demam, kurang selera makan atau minum, sakit tekak dan lemah. Biasanya penyakit ini akan sembuh dalam masa tujuh hingga 10 hari tetapi perlu dibawa berjumpa doktor jika makan minumnya terlalu kurang, demam lebih dari tiga hingga empat hari, lesu dan tidak peka dengan persekitaran atau sawan.
“Biasanya doktor boleh mengenal pasti penyakit ini dengan pemeriksaan fizikal tetapi untuk kes teruk ia memerlukan ujian rembesan hingus, tekak atau najis (ujian PCR atau percambahan virus),” jelasnya.
Sama seperti influenza, HFMD boleh dielakkan dengan menjaga kebersihan diri, membasuh tangan yang tercemar dengan sabun dan air atau sanitizer, bersihkan permukaan meja kerusi, tombol pintu, barang mainan dan elakkan bersentuhan dengan pesakit bergejala.
Pun begitu, tiada rawatan khusus untuk HFMD, doktor biasanya memberi rawatan simtomatik seperti paracetamol, ubat ulser dan kadang-kadang memerlukan kemasukan hospital untuk rehidrasi. Kes komplikasi serius memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan bantuan alat pernafasan.
Tidak ketinggalan, penyakit berjangkit yang kian popular adalah RSV atau respiratory synctial iaitu sejenis virus yang sering menyerang saluran pernafasan yang menyebabkan gejala ringan.
Menurut Dr. Hasanah, kebanyakan pesakit boleh sembuh dalam masa lima hingga 10 hari tetapi RSV boleh menjadi serius terutama kanak-kanak setahun ke bawah dan warga emas.
Gejala biasanya bermula dalam masa tiga hingga enam hari selepas dijangkiti RSV. Tanda-tandanya termasuklah demam, selsema, batuk dan kurang selera makan.
Sama seperti penyakit berjangkit lain, RSV juga berbahaya kerana boleh menyebabkan masalah jangkitan saluran pernafasan yang serius iaitu bronchiolitis dan pneumonia terutamanya pada bayi.
“RSV dijangkiti melalui titisan hingus dan air liur. Ia juga boleh berjangkit dari permukaan dicemari virus atau sentuhan terus seperti mencium bayi yang dijangkiti,” ujarnya.
Tambahnya, RSV juga tiada rawatan khusus. Kebiasaannya, doktor akan memberi ubat demam, ubat titisan hidung dan kadang kala antibiotik jika terdapat komplikasi kuman bakteria.
Selain itu, pastikan anak-anak dalam keadaan selesa, lebihkan minuman susu, jus atau pun sup. – MINGGUAN MALAYSIA

The post Tiga penyakit berjangkit kini ancam manusia! appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article