Tiada gelembung pelancongan ke Melaka 1 Oktober

1 year ago 168

MELAKA: Orang ramai yang berhasrat melancong ke Melaka bermula 1 Oktober ini, diminta menangguhkan sebentar perancangan tersebut sehingga kadar vaksinasi negara mencapai tahap 90 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kerajaan negeri tidak membuka pintu sempadan bagi tujuan pelancongan, meskipun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengumumkan gelembung pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata, meskipun imunisasi kelompok sudah mencapai 90 peratus kelak, beberapa aspek antaranya prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diteliti sebelum membenarkan kemasukan semula pelancong.

“Berhubung dengan gelembung pelancongan saya dah maklumkan, ia bukan 1 Oktober. Ia sehingga vaksinasi sepenuhnya 90 peratus di seluruh negara. Baru ia akan dibenarkan, itupun mengambil sedikit masa.

“Apapun berlaku apabila mencapai 90 peratus, kita mengambil pendirian juga untuk meneliti semua aspek SOP terlebih dahulu. Sebelum kita bertindak membenarkan kedatangan pelancong ke negeri yang bersejarah ini,” katanya ketika ucapan penggulungan penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu adalah ketetapan lain seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Pada Selasa lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pembukaan tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini termasuk Melaka.

Selain Melaka, dua destinasi lain yang akan dibuka kepada pelancong tempatan menerusi projek rintis gelembung pelancongan bermula 1 Oktober ini ialah Genting Highlands dan Pulau Tioman di Pahang. – UTUSAN ONLINE

 

The post Tiada gelembung pelancongan ke Melaka 1 Oktober appeared first on Utusan Digital.

Read Entire Article