Temerloh, Bentong berpotensi dinaik taraf status bandar raya

2 months ago 159

TEMERLOH: Bentong dan Temerloh di Pahang berpotensi dinaik taraf sebagai bandar raya kedua dan ketiga di negeri ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang. 

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dua daerah itu hampir memiliki kriteria dan syarat diperlukan sebelum diangkat sebagai bandar raya. 

Justeru itu tegasnya, kerajaan negeri tiada halangan malah sudah bersedia untuk menaik taraf status Temerloh dan Bentong sebagai bandar raya selari dengan kemajuan ekonomi dicapai.

“Kerajaan negeri dan Pusat akan meneliti beberapa perkara untuk dinilai melibatkan pengurusan dan pentadbiran, indeks kebahagian termasuk kutipan cukai. 

“Kita akan isytiharkan dahulu sama ada Bentong atau Temerloh setelah memenuhi kriteria dan syarat tetapi lambat laun kedua bandar ini dinaikkan taraf kepada status bandar raya apabila sampai masanya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian program publisiti dan penyertaan awam draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Temerloh 2035 (penggantian) di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini. 

Menurut Wan Rosdy,  sebelum ini bandar Kuantan telah dinaikkan status bandar raya pada 21 Februari tahun lalu dan menunjukkan peningkatan memberangsangkan sektor pembangunan perniagaan,  industri dan pelancongan. 

Dalam pada itu, beliau berkata, kajian menyeluruh dan terperinci akan dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan berhubung RTD Temerloh.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan bantahan daripada penduduk setempat dan kerajaan negeri ingin meneliti perkara itu sebelum membuat apa-apa ketetapan. 

“Saya optimis pelan RTD daerah ini disusun serta dirancang dengan baik dan sempurna untuk tatapan dan mendapat maklum balas penduduk Temerloh. 

“Kerajaan negeri terbuka dan tidak  zalim, sebab itu kita benarkan siasatan awam terhadap perancangan RTD dan jika perkara ini merugikan orang ramai serta mendatangkan kesusahan, kita takkan buat,” katanya. –UTUSAN

The post Temerloh, Bentong berpotensi dinaik taraf status bandar raya appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article