Tawar RM10 juta: SPRM akan panggil Mohamad Syafiq

3 weeks ago 181

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil pemerhati politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim berhubung tuduhan yang dilemparkannya terhadap suruhanjaya itu yang kononnya menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan meneruskan siasatan terhadap Mohamad Syafiq meskipun permohonan maaf dibuat olehnya hari ini.

Tegas Azam, beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan tuduhan yang dibuat kerana disifatkan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab.

“Kita akan panggil dan siasat dia. Tuduhan yang dibuat olehnya adalah berat kerana ia boleh menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM sebagai agensi penyiasatan negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dengan tegas turut mengkritik kenyataan dibuat oleh Mohamad Shafiq.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, permintaan maaf daripadanya adalah tidak mencukupi kerana kenyataan itu telah tersebar luas dan pasti ada yang mempercayainya.

“Pengajaran harus diberikan kepada seluruh anggota masyarakat agar tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap agensi penyiasatan negara.

“Kebijaksanaan SPRM dalam menjalankan siasatan tidak wajar dipertikaikan dan ahli politik atau penyokong mereka yang sedang disiasat perlu memberi kerjasama penuh dan dinasihatkan untuk mengelakkan membuat kenyataan yang kelihatan mengganggu atau mencampuri urusan siasatan bagi memastikan siasatan yang telus dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Jais berkata, SPRM mesti terus tegas dan berani bertindak menyiasat sesiapa sahaja bagi memastikan segala dakwaan kes rasuah dibongkar sehingga akar umbi kerana pihaknya yakin dan percaya bahawa setiap rakyat Malaysia sentiasa menyokong agensi ini.

“Justeru semua pihak dinasihatkan agar tidak mempolitikkan dan mengganggu-gugat siasatan pihak SPRM yang sedang berjalan,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Syafiq mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada SPRM susulan tuduhan yang dilemparkan oleh beliau.

Mohamad Shafiq menjelaskan, beliau tidak berniat menuduh mana-mana pihak dan menyifatkan sebagai ‘terlepas cakap’ berhubung khabar angin di mahkamah.

“Saya memohon maaf kepada pihak SPRM kerana provokasi politik yang mencetuskan perbalahan dan saya terlepas cakap berkaitan rumors di mahkamah yang kononnya pihak SPRM menawarkan sejumlah wang RM10 juta untuk Datuk Wan Saiful Wan Jan mengubah kenyataannya.

“Saya tidak berniat menuduh mana-mana pihak termasuk Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) di mana video tersebut telah dipotong oleh cybertroopers Pakatan Harapan (PH) dan disebarkan seolah-olah saya hanya menyebut SPRM menawarkan RM10 juta kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya.

Azam sebelum itu menegaskan kepada Utusan Malaysia, dakwaan Wan Saiful ditawarkan RM10 juta untuk membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes rasuah disifatkan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab.

Kata beliau,  pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan itu.

“Ini individu yang tidak bertanggungjawab dan SPRM akan ambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

“Ia satu fitnah dan beliau adalah penipu,” katanya di sini hari ini.

Semalam tular satu video berdurasi 44 saat yang tersebar di Twitter memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Ketua Penerangan Bersatu.

Melalui klip video itu, lelaki terbabit mendakwa tawaran itu dibuat SPRM supaya Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menukar kenyataannya dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk menerima wang rasuah.

Terdahulu, Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan Adam Radlan, 42, seorang ketua pegawai eksekutif syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dikemukakan terhadap mereka oleh pihak pendakwaan secara berasingan di hadapan Hakim, Azura Alwi dan Hakim, Suzana Hussin. – UTUSAN

The post Tawar RM10 juta: SPRM akan panggil Mohamad Syafiq appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article