Tarbiyah sumber kekuatan ahli PAS

2 months ago 79

MARAN: Program tarbiyah PAS berterusan kepada ahli di semua peringkat menjadi sumber kekuatan yang sangat berharga sehingga ke hari ini, kata Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar.

Beliau berucap demikian berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Maran Kali Ke-42 di Dewan Komuniti Maran, di sini semalam.

“Kejayaan PAS mendidik ahli-ahlinya dengan program tarbiyah yang tersusun seperti usrah, liqa’ fikri, dan ijtimak tarbawi serta program yang lain itu telah membentuk kekuatan dalaman ahlinya sehingga mampu istiqamah dalam perjuangan hingga kini.

“Walaupun PAS tak pernah sunyi hadapi ujian-ujian, termasuk tidak terlepas dari serangan di media sosial, namun terbukti sehingga kini tidak melunturkan semangat perjuangan ahli PAS. 

“Malah mereka tetap istiqamah dan patuh dengan jemaah (PAS) dan pimpinan yang ada. Keikhlasan dalam perjuangan yang dipamerkan oleh ahli-ahli PAS telah dibuktikan sejak dari dahulu lagi.

“Mereka terus berjuang dan berkorban tanpa memikirkan dapat habuan dunia ataupun tidak. Dengan kehadiran yang ramai perwakilan pada hari ini juga menunjukkan ahli PAS di Maran ini tetap istiqamah dan bersemangat dalam perjuangan,” katanya yang juga ADUN Tanjung Lumpur.

Ustaz Rosli juga turut berkata, PAS Pahang masih tetap berada dalam usaha penyatuan ummah selari dengan arahan PAS Pusat dan meminta ahli di semua peringkat akur serta mendukung penuh usaha tersebut.

“Penyatuan ummah ini adalah contoh yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika mendirikan negara Islam Madinah, dengan menyatukan suku-suku kaum yang telah lama bersengketa di sana terlebih dahulu dan kemudian baginda menyatukan pula Muhajirin dengan Ansar,” ujarnya lagi.

MAT kali ini turut menyampaikan anugerah Tokoh Jasa Mu Dikenang kepada Samad Lebai Yusuf daripada PAS Cawangan FELDA Jengka 4, bagi menghargai jasanya sebagai bekas Ahli Jawatankuasa PAS Maran dan telah bersama PAS semenjak zaman almarhum Datuk Asri Muda lagi.

Manakala Zaleha Abas dari PAS Cawangan Chenor Bandar dipilih sebagai tokoh Muslimah Istiqamah dan Ustaz Mujahid Awang Mohd Nor dari PAS Cawangan Kampung Batu 13, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Anak Muda Istiqamah.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh bekas Johan Qari Negeri Pahang, Ustaz Haji Termizi Hamzah dan tayangan video ucapan amanat dari Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – HARAKAHDAILY 25/7/2022

The post Tarbiyah sumber kekuatan ahli PAS appeared first on HarakahDaily.

Read Entire Article