Tak salah ambil pelawak jadi pengacara – Uyaina Arshad

1 month ago 40

PETALING JAYA: Pemilihan pelawak mengendalikan program televisyen tidak sepatutnya dijadikan isu kerana mereka juga berbakat dan kebolehan sebagai pengacara.

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, 30, berkata industri seharusnya lebih terbuka dengan meraikan mereka yang berbakat, pada masa sama memperbanyakkan platform pencarian pengacara baharu untuk dijadikan pelapis.

“Tidak salah ambil pelawak menjadi pengacara. Namun, tentu lebih menarik jika kita mempunyai lebih banyak platform untuk melahirkan pelapis pengacara yang berkualiti.

“Sebelum ini, ramai yang bertanya bagaimana mahu melangkah masuk dalam industri. Saya dulu bernasib baik kerana berpeluang menyertai program Pencarian Nona Manis di TV3 dan Puteri Muslimah Asia di Indonesia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Uyaina berkata, dia ingin lebih serius dalam bidang lakonan dan mengimpikan watak mencabar untuk menyerlahkan lagi bakatnya.

Katanya, sebelum ini, dia sering diberikan watak wanita tertindas dan teraniaya yang seolah-olah sudah sinonim dengan dirinya.

“Saya impikan watak yang lebih mencabar atau babak aksi kerana saya sememangnya lasak dan gemarkan sukan ekstrem.

“Banyak pengalaman, ilmu dan cabaran yang saya lalui bersama Wanita Hari Ini (WHI) sejak tujuh tahun lalu,” kongsinya.

Uyaina pernah membintangi drama Lelaki Kiriman Tuhan, Curi-Curi Cinta, Sara Sajeeda, Perempuan Tanpa Dosa dan Lockdown 2.

 

The post Tak salah ambil pelawak jadi pengacara – Uyaina Arshad appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article