Solidariti industri dalam AngkasaRIOT: Bersatu demi Angkasa

1 month ago 37

PADA 24 Julai lalu, saya sedang dalam perjalanan pulang dari Punk Gong Tour di Kuala Pilah. Dalam perjalanan itu, kami dalam kereta dikejutkan dengan ciapan-ciapan di Twitter tentang Angkasa Event Space, ruang acara ikonik dalam lapangan independen.

Angkasa diserbu penguasa malam itu ketika sebuah gig hip hop dianjurkan. Ruang acara itu disaman RM50,000 kerana beroperasi tanpa permit hiburan. Gambar pengasasnya, Elmi di hadapan pintu masuk Angkasa yang berkunci dan disilang pita kuning dimuat naik. Seperti Angkasa, gambar itu juga segera menjadi ikonik.

Kita yang tidak tahu apa-apa tentang pengoperasian ruang acara tidak akan hairan, malah mungkin mencemuh. Tiada lesen, memang padanlah disaman dan disita. Namun, penjelasan Elmi selepas itu buat kita berfikir semula.

Menurut Elmi, ruang acara perlu membayar deposit sebanyak RM30,000 untuk artis antarabangsa dan RM10,000 untuk artis tempatan. Deposit tersebut untuk permit yang berharga hanya RM49. Lebih buruk lagi, untuk mendapatkan semula deposit tersebut, ruang acara terpaksa menunggu berbulan-bulan.

Itu baru permit, belum lesen. Untuk lesen hiburan, ruang acara perlu membayar deposit RM50,000 dan RM27,000 lagi untuk proses mendapatkan lesen. Akal sihat mana yang boleh terima peraturan begini untuk ruang acara yang hanya mengambil bayaran maksimum RM2,200 untuk satu acara?

Peraturan disanggah

Ada pepatah terkenal dalam dunia moral dan undang-undang, an unjust law is no law at all. Undang-undang yang tidak adil tidak harus dianggap sebagai undang-undang.

Apabila peraturan yang tidak masuk akal sebegini wujud, ia perlu disanggah dan dibaiki. Cara membaikinya perlu melibatkan penggerak lapangan muzik kecil-kecilan seperti pemilik ruang acara yang bikin gig dengan harga tiket murah seperti Angkasa dan lain-lain.

Penguasa perlu tahu, bukan semua acara muzik melibatkan perbelanjaan dan pulangan besar-besaran seperti festival muzik. Makanan pun ada yang dijual murah dengan modal kecil untuk marhaen berpendapatan rendah, ada yang dijual mahal-mahal untuk orang kaya yang tidak tahu mahu belanja wangnya ke mana. Begitu juga acara muzik.

Peraturan ini perlu ditambah baik dengan menyedarkan pembuat polisi tentang kewujudan acara kecil-kecilan yang dibikin setiap minggu atas nama gig. Modalnya rendah, untungnya pun kecil. Peraturan tidak boleh pukul rata seolah-olah ruang acara seperti Angkasa bikin untung sama banyak dengan kelab malam di Bukit Bintang.

Merayakan Angkasa

Walau bagaimanapun, beberapa siri pertemuan antara Elmi dan penggerak muzik independen bersama wakil kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dilaksana. Harapan kita, akan ada berita baik untuk Angkasa dan semua ruang acara independen.

Namun, solidariti tetap perlu diteruskan. Saman masih perlu dibayar dan Angkasa masih perlu diselamatkan. Kita mahu buka pita kuning pada pintu Angkasa, mahu ada selfie gembira dari Elmi dan kakitangannya dimuat naik dalam Twitter.

Oleh itu, tiga organisasi berpadu tenaga menganjurkan gig istimewa untuk Angkasa, dinamakan AngkasaRIOT pada 20 Ogos ini. Tiga organisasi itu ialah LUAS, Atas Angin dan Freshtown Records.

Riot bukan untuk merusuh. Untuk pengetahuan anda, riot ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan keseronokan menikmati gig, terutamanya untuk muzik berirama keras. Peminat akan mosh, berlanggar tubuh antara satu sama lain dan bergembira menikmati hentakan muzik di telinga.

Ini budaya muzik keras di seluruh dunia, bukan “cara anak-anak B40 berhibur” seperti ditulis sebuah akaun Twitter yang hidup dengan memuat naik video tular milik orang.

Riot dalam nama gig ini lebih besar maknanya. Ia diubah suai dari perkataan angkasa raya. Angkasa raya bermaksud angkasa yang besar. Dalam lapangan muzik independen, angkasa raya ialah seluruh ekosistem yang mengerakkannya, baik penganjur, kugiran, media, peminat atau siapa sahaja yang bersama menyokong kewujudannya.

Solidariti segenap sudut

“Angkasa bagi kami ialah satu ruang untuk seluruh ekosistem muzik independen. Tempat ini sinonim untuk muzik independen dan ia sangat aktif menyokong lapangan.

“Semua hasil jualan tiket akan digunakan untuk membayar saman terhadap Angkasa. Semua yang membuat persembahan juga tidak ambil bayaran,” kata Gob, pengasas LUAS.

Yang sanggup beraksi secara percuma ini bukan hanya pemuzik independen. Ada wakil artis arus perdana seperti Shila Amzah, Tomok dan Imran Ajmain. Ada wakil dari lapangan hardcore seperti Hutch Vs The World dan Sekumpulan Orang Gila. Ada penyanyi hip hop seperti Rudeen, B-Heart dan Sxph.

Sokongan terhadap Angkasa datang dari segenap sudut. Kekuatan solidariti ini perlu diperhati rapat seluruh industri kerana dalam hal ini, semua yang peduli tentang muzik bersalam memberi solidariti.

Jualan tiket masih dibuka di laman web atasangin.com. Jika anda juga peduli tentang muzik, nyatakan sokongan anda dengan membeli tiket atau jika tidak mampu hadir, kongsi hebahan tentang AngkasaRIOT di media sosial anda. Kita angkat semangat solidariti ini setinggi angkasa.

The post Solidariti industri dalam AngkasaRIOT: Bersatu demi Angkasa appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article