Skrin video gergasi hempap dua penari di pentas konsert

2 months ago 126
Detik ketika skrin video gergasi jatuh menghempap salah dua penari di pentas konsert kumpulan Mirror di Hong Kong pada malam 28 Julai 2022. (FOTO Bloomberg.com)

HONG KONG: Sekurang-kurangnya dua penari lelaki cedera selepas dihempap skrin video gergas tiba-tiba terjatuh di atas pentas konsert kumpulan lelaki paling popular di Hong Kong, Mirror.

Rakaman insiden itu diedarkan dalam talian menunjukkan sekumpulan penari berpakaian putih membuat persembahan di atas pentas di Hong Kong Coliseum pada malam Khamis (28 Julai), apabila skrin video gergasi terjatuh dan menghempap seorang penari lelaki.

Skrin itu kemudiannya terjatuh ke atas sekurang-kurangnya seorang lagi penari lagi, sebelum kesemua yang ada di atas pentas bergegas untuk membantu kedua-dua penari tersebut.

Pengurus Mirror, Ahfa Wong kemudian naik ke pentas untuk memohon maaf dan meminta penonton konsert beredar, merujuk klip video yang tersebar dalam talian berkenaan.

Dua penari lelaki itu dibawa ke hospital dalam keadaan sedar sejurus selepas jam 10.30 malam waktu tempatan, polis memberitahu AFP.

Pada kira-kira12 tengah malam, media tempatan melaporkan, Hospital Queen Elizabeth di bandar itu berkata seorang lelaki yang mengalami kecederaan leher berada dalam keadaan serius, manakala seorang lagi berada dalam keadaan stabil selepas kecederaan kepala.

Menurut South China Morning Post, satu daripada dua tali logam yang menggantung skrin video gergasi itu terputus, menyebabkan ia terhempas ke atas pentas konsert tersebut.

Setiausaha Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Hong Kong, Kevin Yeung dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata, kerajaan Hong Kong telah menunda konsert Mirror sehingga struktur pentas itu terbukti selamat.

Pemimpin Hong Kong, John Lee ketika mengulas mengenai insiden itu, berkata beliau terkejut dan telah mengarahkan siasatan menyeluruh untuk menilai keperluan keselamatan persembahan konsert yang lain bagi memastikan aspek keselamatan terjamin.

Konsert tersebut yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 25 Julai hingga 6 Ogos telah dibelenggu oleh pelbagai kesilapan teknikal sejak Isnin (25 Julai) lalu, menyebabkan peminat mempersoalkan aspek keselamatan pentas konsert tersebut. – HARAKAHDAILY 29/7/2022

Read Entire Article