[SIDANG DUN SABAH]Bantuan RM7.3 juta untuk semua kawasan 73 DUN Sabah

1 year ago 167

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM7.3 juta bagi bantuan sekali bayar menerusi Sentuhan Kasih kepada semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Setiap kawasan akan menerima RM100,000 sebagai tambahan kepada bantuan sedia ada yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemberian bantuan itu sebagai komitmen kebersamaan atas semangat Keluarga Malaysia.

Beliau mengumumkan bantuan khas itu semasa ucapan penggulungan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Dalam ucapan penggulungannya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Senallang) turut meminta kerajaan negeri menetapkan tarikh akhir bagi mendapatkan semula hak Sabah terhadap petroleum seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita perlu menetapkan tarikh akhir kerana tidak boleh bergantung kepada janji manis dan kajian laporan semata-mata. Sarawak sudah menerima lima peratus hasil cukai produk petroelum melalui Akta Pembangunan Petroleum (PDAR) 1974.

“Maka, Sabah harus menetapkan tarikh akhir untuk mendapatkan hak Sabah kerana tanpa tempoh masa, tiada penyelesaian akan dicapai. Sampai bila tubuh jawatankuasa?. Sejak zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sekarang tubuhkan jawatankuasa,” kata Mohd. Shafie.

Hajiji (Bersatu-Sulaman) berkata, selaku wakil rakyat, semua mahu penyelesaian segera dilakukan terhadap isu-isu MA63 atau urusan berhubung Petroleum.

Menurutnya, jika semua wakil rakyat bersama-sama, usaha menuntut hak Sabah itu akan dapat dilakukan dengan penuh ketegasan dan tekad yang cukup jelas.

Tambah beliau, masih ada beberapa perkara yang belum ditunaikan dalam tuntutan MA63 maka, kerajaan negeri akan cuba memastikan hak-hak Sabah akan ditunai dan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.- UTUSAN ONLINE

 

 

The post [SIDANG DUN SABAH]Bantuan RM7.3 juta untuk semua kawasan 73 DUN Sabah appeared first on Utusan Digital.

Read Entire Article