Sesi persekolahan di Terengganu dibuka ikut jadual

1 month ago 236

KUALA TERENGGANU : Sesi persekolahan di Terengganu akan tetap bermula pada Ahad ini mengikut jadual yang dirancang Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah berkata, buat masa ini, tiada sebarang keperluan untuk penangguhan sesi persekolahan secara bersemuka di Terengganu.

“Terdapat 74 buah sekolah yang dikenal pasti terjejas akibat banjir buruk yang berlaku di seluruh Terengganu, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, proses pembersihan pasca banjir di sekolah-sekolah itu telah selesai dilakukan hasil kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta serta sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Oleh itu, kita optimis sesi persekolahan secara bersemuka dapat dijalankan mengikut jadual asal bermula Ahad ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Antara peralatan yang rosak di sekolah terjejas banjir ialah kerusi, meja dan buku.

Tambahnya, dalam penyelesaian jangka masa pendek, lebihan kerusi dan meja dari sekolah lain akan dihantar ke sekolah-sekolah terjejas banjir untuk memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar dan selesa.

“Begitu juga dengan 143 sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), proses pembersihan juga telah dijalankan.

“Bagaimanapun, jabatan mengingatkan semua warga sekolah agar tetap berhati-hati untuk berdepan kemungkinan banjir gelombang ketiga pula berlaku seterusnya,” katanya. – UTUSAN

The post Sesi persekolahan di Terengganu dibuka ikut jadual appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article