Semakan OPR kekang tekanan inflasi

3 weeks ago 157

PETALING JAYA: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dinasihatkan mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan operasi dan perniagaan mereka terus berkembang untuk mengurangkan tekanan daripada semakan menaik terkini Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus seperti yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, semakan menaik yang terbaharu itu mengesahkan pendirian BNM dalam menormalisasikan OPR secara beransur-ansur untuk mengekang tekanan inflasi yang sedang dihadapi negara.

Jelasnya, Jabatan Perangkaan juga pada Julai lalu melaporkan inflasi negara telah meningkat kepada 4.4 peratus terutamanya disebabkan oleh inflasi makanan yang melonjak kepada 7.0  peratus tahun ke tahun, berbanding purata lima tahun pra-pandemik sebanyak 3.0 peratus.

“Walaupun trend OPR menaik, ekonomi Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara berkembang dengan kukuh sebanyak 8.9 peratustahun ke tahun berbanding 5.0 peratus pada suku pertama.

“Secara keseluruhan, ekonomi mencatatkan pertumbuhan 6.9 peratus untuk separuh pertama 2022 dan menjangkakan KDNK setahun penuh boleh mengatasi julat unjuran BNM sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

“Memandangkan ekonomi semakin pesat membangun, terdapat kurang keperluan untuk dasar monetari yang lebih longgar untuk mengawal pengumpulan hutang yang berlebihan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Risiko Kumpulan SME Bank, Mohammad Azam Ahmad berkata, petunjuk ekonomi utama setakat ini menunjuk ke arah pemulihan yang teguh disokong permintaan domestik yang kukuh, faktor kesan asas, penambahbaikan dalam keadaan pasaran buruh dan prospek pendapatan, langkah dasar yang banyak menyokong dan permintaan luar yang berdaya tahan.

“Bagaimanapun, risiko penurunan kepada pemulihan tetap ada akibat daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, tekanan kos yang meningkat, konflik geopolitik yang semakin meruncing, gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan dan keadaan pasaran kewangan yang semakin meruncing dalam ekonomi maju.

“Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kestabilan harga, BNM perlu menaikkan OPR supaya inflasi terus terkawal dan turun naik yang melampau dalam ringgit dapat dicegah,” ujarnya.

Pelanggan SME Bank digalakkan untuk berkomunikasi secara terus dengan Pengurus Perhubungan masing-masing untuk isu-isu berkaitan pembiayaan mereka. 

Sebagai alternatif, mereka boleh menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan Bank di 03-26037700 atau e-mel customercare@smebank.com.my. 

Usahawan PKS juga boleh merujuk kepada Indeks Sentimen PKS SME Bank di www.smebank.com.my/en/sme-sentimentindex untuk maklumat dan pemahaman yang lebih baik tentang penunjuk ekonomi semasa. – UTUSAN

The post Semakan OPR kekang tekanan inflasi appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article