Selepas Singapura, Rajapaksa lari ke Thailand pula

1 month ago 46
Gotabaya Rajapaksa (kanan) tiba di Bangkok, Thailand dari Singapura pada malam Khamis, 11 Ogos 2022 selepas melarikan diri dari negaranya, Sri Lanka selepas berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya pada Julai lalu. (FOTO AFP/Tananchai Keawsowattana)

Oleh ZULHAIDI MANSOR

BANGKOK: Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke luar negara diri selepas rusuhan dan protes rakyat terhadap kerajaannya, kini dilaporkan berada di Thailand selepas kira-kira sebulan menetap di Singapura.

Pemimpin dalam buangan itu mendarat dengan jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok kira-kira jam 8 malam waktu tempatan (1200 GMT) pada Khamis (11 Ogos), kata seorang pegawai kanan kerajaan Thailand, lapor TRT World.

Rajapaksa terbang dari Singapura susulan visanya tamat selepas tinggal di negara itu sejak pertengahan Julai lalu.

Stesen televisyen Thailand menyiarkan liputan ketibaan Rajapaksa dan seorang wanita yang dipercayai isterinya di luar dewan VIP di lapangan terbang berkenaan, sebelum mereka dibawa ke sebuah limosin, ke destinasi yang tidak didedahkan, lapor pula The Guardian.

Satu kenyataan daripada pegawai kerajaan Thailand pada Rabu (10 Ogos) berkata, pihak mereka telah diminta oleh kerajaan Sri Lanka untuk membenarkan Rajapaksa dan pengiringnya memasuki, dan  akan dibenarkan tinggal di situ buat sementara waktu.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dalam kenyataanya berkata bahawa beliau menyedari kunjungan Rajapaksa ke negara itu, dan ia dibenarkan atas sebab kemanusiaan kerana bekas presiden itu mencari suaka di negara ketiga. 

Chan-ocha bagaimanapun tidak mengulas lanjut tetapi berkata Rajapaksa tidak akan terlibat dalam aktiviti politik semasa berada di Thailand.

Dalam pada itu, Rajapaksa tidak membuat sebarang komen umum mengenai perancangan perjalanannya dalam mencari suaka di negara lain. 

Selepas melarikan diri dari Sri Lanka pada Julai lalu, dia terbang ke Maldives dengan pesawat tentera Sri Lanka dan sebelum ke Singapura, sehinggalah visanya tamat pada Khamis. 

Terdahulu, Rajapaksa  meletak jawatan daripada jawatan Presiden Sri Lanka, hanya selepas dia meninggalkan negara itu.

 “Kehadiran Rajapaksa di  Thailand bersifat sementara. Tiada suaka politik dicari beliau (di Thailand) ,” kata jurucakap kementerian luar Thailand, Tanee Sangrat.  

Tambah Sangrat, bekas Presiden Sri Lanka Beliau yang memegang pasport diplomatik akan dibenarkan tinggal di Thailand selama 90 hari tanpa visa.

Terdahulu, rakyat Sri Lanka telah mengadakan protes jalanan secara besar-besaran selama berbulan-bulan menuntut pembaharuan demokrasi dan penyelesaian kepada kejatuhan ekonomi negara.

Penunjuk perasaan yang telah menyerbu pejabat dan kediaman rasmi Rajapaksa di ibu negara Sri Lanka, Colombo, menyalahkan salah urus dan rasuah oleh keluarga Rajapaksa dalam kabinet kerajaan atas krisis ekonomi yang telah menyebabkan berlaku kekurangan keperluan yang serius barangan penting seperti ubat-ubatan, makanan dan bahan api. 

Sri Lanka ketika ini sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk program bantuan kewangan. 

Selain dikritik kerana atas dakwaan salah urus ekonomi Sri Lanka, Rajapaksa telah dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia terlibat dengan jenayah perang semasa beliau menjadi setiausaha pertahanan tatkala perang saudara Sri Lanka, yang berakhir pada 2009.

Sementara, The Straits Times melaporkan Rajapaksa menaiki penerbangan dari Singapura ke Bangkok pada petang Khamis (11 Ogos) itu selepas Thailand mengesahkan sehari sebelum itu telah menerima permintaan daripada kerajaan Sri Lanka semasa untuk beliau melawat negara itu.

Thailand merupakan negara Asia Tenggara kedua buat  Rajapaksa mencari perlindungan sementara selepas beliau melarikan diri dari negaranya pada bulan lalu di tengah-tengah protes besar-besaran rakyat.

Beliau terbang ke Singapura pada 14 Julai lalu, melalui Maldives, berikutan pergolakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang dicetuskan oleh krisis ekonomi terburuk Sri Lanka dalam tujuh dekad, dan beberapa hari selepas beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman dan pejabat rasminya.

Semasa berada di Singapura, Rajapaksa bersikap rendah diri dan tidak dilihat di khalayak ramai. Beliau pada mulanya menginap di sebuah hotel di pusat bandar, tetapi dipercayai telah berpindah ke kediaman persendirian.

Tidak jelas berapa lama Rajapaksa akan kekal  berada di Thailand, dan ke manakah destinasi  beliau seterusnya.

Menurut laporan Bangkok Post pula,  kerajaan Thailand percaya kehadiran Rajapaksa di Thailand tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada negara itu, dan kerajaan Sri Lanka pula tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menentang keputusan Thailand menerima kunjungan Rajapaksa di situ. – HARAKAHDAILY 12/8/2022

Read Entire Article