“Saya Jumpa Kemanisan Beribadah Ketika Dalam Lokap,” – Niezam Zaidi

1 month ago 66

Pelakon Niezam Zaidi akui detik hitam yang pernah melanda hidupnya sebelum ini nyata memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya.

Menurut Nizam atau nama sebenarnya, Mohd Niezam Mohd Zaidi, mentalnya itu dikatakan sedkit terganggu lebih-lebih lagi membaca komen-komen negatif terhadap dirinya di media sosial.

“Kalau saya bukan Islam, mungkin saya dah gila atau bunuh diri. Saya minta maaf kerana berkata sebegini. Banyak perkara yang telah berlaku pada saya. Mungkin orang lain lihat ia kenangan pahit, tapi bagi saya pahit itu adalah ubat.

“Isu kesihatan mental ini janganlah kita ambil mudah. Mungkin kita nampak orang lain tu luarannya okay tapi sebenarnya tidak. Sosial media kita punyai notifikasi dan kita boleh lihat komen-komen daripada netizen sama ada membina atau mengecam.

“Walaupun dengan membaca, tapi komen-komen sedemikian sebenarnya boleh mengganggu mental juga. Saya kena berhadapan dengan situasi sedemikian dan kerana itu saya berhijrah pulang ke kampung,” katanya kepada MH.

Niezam berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pra tonton super telemovie yang berjudul Kan Cheong di Starling Mall, Petaling Jaya pada Selasa.

Katanya lagi, disebabkan hal sedemikian, dia memutuskan untuk pulang ke kampung untuk mencari ketenangan dan melebihkan masa bersama keluarga.

“Saya ingin lupakan detik hitam tersebut. Kini, saya lebih kepada mencari ketenangan melalui agama dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Masa senang memang kawan kita ramai, bila susah, keluarga juga yang datang dulu. Masa insiden di Kuala Kangsar, papa saya yang datang. Umur dah 60 lebih datang untuk selesaikan masalah saya.

“Mak saya pula sekarang tengah sakit tiga serangkai dan papa pun dah tua. Kita pun tak tahu boleh hidup sampai bila. Selagi boleh berjasa, kita buat,” kongsinya lagi.

Nizam yang tidak dapat menahan sebak memberitahu, kekuatan yang diperolehnya ketika ini datang daripada semangat para peminat yang tidak henti-henti menyatakan sokongan terhadap dirinya.

“Orang ramai juga banyak bagi semangat pada saya. Kalau ikutkan, saya memang tak kuat nak hadapi semua ini. Komen-komen membina ini membuatkan saya menjadi tambah bersemangat dan Allah yang menjadikan saya kuat.

“Sejujurnya saya memang dah putus asa dengan kerjaya seni tapi apa yang papa saya katakan, telah mengubah persepsi saya.

“Papa ingatkan saya, kenapa saya masuk di dalam industri ini. Saya masuk untuk beri kesenangan pada keluarga.

“Jadi, saya pilih untuk bangkit. Mulanya saya ingat nama saya dah disenaraihitamkan tapi sebenarnya tidak. Banyak stesen tv yang hubungi saya untuk tawaran berlakon,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, pelakon asal Ipoh, Perak ini turut mendedahkan dia telah mendapat kemanisan ketika beribadah sewaktu ditahan di dalam lokap.

“Saya tak pernah pergi umrah dan tak tahu macam mana perasaannya. Tapi saya dapat perasaan seronok nak beribadah ketika di dalam lokap. Itu perasaan paling indah dalam hidup saya.

“Saya tahu, tiada siapa lagi yang boleh tolong saya melainkan Allah,” akhirinya.

Terdahulu, Kan Cheong merupakan sebuah super telemovie yang akan ditayangkan di saluran Astro First bermula 11 Ogos ini.

Selain Niezam, Kan Cheong turut dibintangi pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Nora Danish, Jay Iswazir dan Shila Anuar.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

The post “Saya Jumpa Kemanisan Beribadah Ketika Dalam Lokap,” – Niezam Zaidi appeared first on Media Hiburan.

Read Entire Article