Sasar 20,000 pengunjung Pesta Buku Melaka 

2 months ago 47

MELAKA: Kerajaan negeri menyasarkan 20,000 pengunjung akan hadir pada Pesta Buku Melaka 2022 yang bermula semalam sehingga 2 Oktober depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau yakin angka itu mampu dicapai memandangkan negara sudah memasuki fasa endemik.

Menurut beliau, Pesta Buku Melaka ditangguhkan selama dua tahun akibat Covid-19.

“Penganjuran kali ini memberi peluang kepada para peminat buku untuk datang ke Melaka dan mendapatkan bahan bacaan daripada 32 penerbit buku yang mengambil bahagian. Saya yakin jika Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) menguar-uarkan program ini melalui pelbagai saluran media, maka ia akan menarik lebih ramai pencinta dan peminat buku.

“Saya menyeru pada seluruh masyarakat di Melaka untuk sama-sama hadir ke acara ini bagi mendapatkan buku yang diminati atau yang dicari-cari selama ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pesta Buku Melaka 2022 di The Shore Shopping Gallery, Banda Hilir sini, semalam.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang enam hari adalah pertandingan nasyid, nazam, bercerita, choral speaking serta sesi bersama artis, pelukis, penulis, pemuisi dan ramai lagi.

Tambah Sulaiman, Pesta Buku Melaka bukan sahaja menjadi tempat pertemuan pencinta buku dengan pemain industri, tetapi turut dilihat berperanan besar memupuk semangat membaca.

Katanya, usaha itu selaras dengan hasrat kerajaan melalui Dekad Membaca Kebangsaan yang mensasarkan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang 2030.

“Pesta buku terus relevan dalam kalangan masyarakat dengan mengambil kira kewujudannya di Malaysia sejak 1976 lagi. Walaupun berlaku pelbagai revolusi penulisan dan pengeluaran buku serta ancaman daripada bahan bacaan digital, pesta buku terus mendapat sambutan yang baik dan dibuktikan menerusi kejayaan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Jun lalu,” ujarnya. – UTUSAN

The post Sasar 20,000 pengunjung Pesta Buku Melaka  appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article