Salamiah Hassan kembali bergelar isteri selepas 35 tahun sendiri

1 month ago 167

PETALING JAYA: Selepas 35 tahun hidup bersendirian, penyanyi senior, Salamiah Hassan, kembali bergelar isteri apabila selamat diijabkabulkan dengan lelaki dari Australia, Gerald Hughes, pagi tadi.

Salamiah, 71, dan Hughes, 68, disatukan sebagai suami isteri dalam sebuah majlis yang berlangsung di Burnie, Tasmania, Australia. Pasangan itu disatukan oleh jurunikah yang berasal dari Malaysia.

Penyanyi yang popular dengan lagu Gelombang itu dalam perkongsian menerusi sesi video di laman Instagram miliknya berkata, dia dan Hughes yang mesra disapa Gerry berkenalan sejak 15 tahun lalu.

Bermula sebagai kawan, namun keserasian yang tercipta antara mereka berdua meyakinkan pasangan itu untuk membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius.

Hughes yang berasal dari Liverpool kini menetap di Australia dan difahamkan Salamiah juga memilih untuk tinggal di sana selepas bergelar isteri.

Berita gembira itu turut dikongsi anaknya, penyanyi Atilia Haron yang menyaksikan majlis pernikahan ibunya secara dalam talian.

“Kita menerima saudara baru pagi ini. Alhamdulillah. Ibu yang kami cintai juga menemui kebahagiannya. Meskipun tidak dapat bersama mama hari ini, tetapi kami gembira dapat mengikutinya secara dalam talian.

“Tidak sabar untuk memeluk kamu berdua. Kita kini adalah keluarga. Alhamdulilah, saya sangat gembira,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Selain Atilia, Salamiah turut dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Ahmad Shah hasil perkahwinannya yang terdahulu. – UTUSAN

The post Salamiah Hassan kembali bergelar isteri selepas 35 tahun sendiri appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article