Sa’ad bin Mu’az – Kematiannya Menggegarkan Arasy Allah

1 year ago 227

Sa’ad bin Mu’az, salah seorang pemimpin puak Aus di Madinah tatkala Islam mula bertapak di sana.

Apabila Rasulullah SAW dan para sahabat Muhajirin menetap di Madinah, beliau menjadi salah seorang sahabat rapat Baginda sehinggalah syahid.

Sa’ad bin Mu’az memeluk Islam di tangan Mus’ab bin ‘Umair, sahabat yang diutuskan oleh Rasulullah untuk mengajar penduduk Madinah sebelum Baginda berhijrah. 

Peristiwa pengislaman Sa’ad bin Mu’az cukup menggambarkan keberanian beliau sebagai seorang pemimpin yang mahukan para pengikutnya turut sama mengikut jejak langkahnya.

Usai melafazkan syahadah, beliau berkata kepada para pengikutnya dari Bani Abdul al-Asyhal: 

“Kata-kata orang lelaki dan perempuan daripada kalangan kamu semua adalah haram ke atasku sehinggalah kamu semua memeluk Islam!” 

Akhirnya, mereka semua pun turut memeluk Islam.

Bertegang Urat dengan Abu Jahal

Sebelum memeluk Islam, Sa’ad bin Mua’z merupakan rakan baik kepada Umaiyyah bin Khalaf, orang yang menyiksa bilal bin Rabah. 

Walaupun begitu, hubungan mereka berdua cukup akrab. Kisah ini ada di riwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dalan Kitab al-Maghazi. 

Apabila Umaiyyah pergi berniaga di Madinah, dia pasti akan singgah ke rumah Sa’ad. 

Begitu juga dengan Sa’ad, apabila pergi ke Mekah, beliau akan singgah di rumah rakannya itu.

Tatkala Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah dan Sa’ad pun sudah memeluk Islam, hubungannya dengan Umaiyyah masih lagi baik. 

Lalu, Sa’ad pun pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadat umrah. Seperti biasa, beliau akan singgah di rumah rakannya itu. 

Sa’ad berkata kepada Umaiyyah: “Beritahu aku sekiranya kawasan Ka’bah tengah kosong supaya aku dapat melakukan tawaf.”

Lalu, Umaiyyah pun membawa Sa’ad menuju Ka’bah pada waktu hampir tengah hari.

Tiba-tiba mereka berdua terserempak dengan Abu Jahal

Dia bertanya Umaiyyah: “Siapakah dia ini wahai Abu Safwan?” Jawab Umaiyyah: “Ini Sa’ad.” 

Mengetahui bahawa Sa’ad dan kaumnya dari puak Aus telah menyokong Nabi SAW, Abu Jahal membalas

“Sekiranya engkau tidak berada bersama Abu Safwan, aku akan pastikan engkau tidak akan pulang kepada kaummu dengan selamat!”

Sa’ad berasa tercabar. 

Lalu membalas dengan suara yang tinggi: “Demi Allah, sekiranya engkau berani menghalangku, aku akan turut menghalangmu dengan lebih teruk lagi.

Aku akan menghalang engkau daripada memasuki Madinah!

Semangat Juang yang Tinggi

Sa’ad bin Mua’z tidak melepaskan peluang untuk menyertai peperangan pertama umat Islam, Badar al-Kubra

Ketika itu, beliau telah menonjolkan kesungguhan beliau dan kaumnya untuk berjuang bersama-sama Rasulullah SAW sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Imam Ibn al-Athir dalam meriwayatkan kisah ini dengan terperinci dalam kitabnya, Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah

Ketika Rasulullah SAW telah menggerakkan pasukannya menuju ke Badar, datang berita kepada Baginda yang mengatakan bahawa kafilah Quraisy yang ingin dipintas itu telah berjaya meloloskan diri.

Lalu, tanpa membuang masa, Baginda memanggil para sahabatnya untuk bermesyuarat.

Lalu, Abu Bakar, Umar dan al-Miqdad berpandangan bahawa mereka perlu terus mara. 

Rasulullah SAW memuji mereka. 

Namun, mereka bertiga daripada kalangan Muhajirin sedangkan keseluruhan pasukan tentera Islam ketika itu majoritinya terdiri daripada golongan Ansar

Lalu, Baginda menjemput wakil daripada kaum Ansar untuk berucap.

Sa’ad meminta izin dan kemudiannya berucap dengan bersemangat: “Kami telah beriman dan membenarkan tuan. 

Kami juga telah saksikan kebenaran yang tuan bawa. 

Sekiranya lautan yang menjadi penghalang, kami akan menyeberanginya bersamamu tanpa tertinggal walau seorangpun!” 

Mendengar ucapan Sa’ad, Baginda berasa bertambah gembira.

Peperangan Terakhir

Sa’ad bin Mu’az ditakdirkan tidak hidup lama selepas beliau memeluk Islam. 

Beliau hanya sempat mengikuti Peperangan Badar, Uhud dan Khandaq sahaja. 

Ketika Perang Khandaq meletus, beliau telah mendapat luka parah. 

Namun, walaupun peperangan telah tamat, ada satu lagi masalah yang perlu diselesaikan, iaitu puak Yahudi Bani Quraizah.

Lalu, ditakdirkan luka yang dialaminya itu sembuh seketika. 

Kemudian Rasulullah SAW melantiknya sebagai hakim bagi memutuskan hukuman yang wajar dikenakan kepada puak Yahudi Bani Quraizah atas sebab membelot ketika Perang Khandaq meletus

Lalu, hukuman pun dijatuhkan. Golongan lelaki dihukum bunuh manakala golongan wanita dan harta benda dijadikan rampasan perang.

Setelah selesai, tiba-tiba luka Sa’ad kembali berdarah

Luka itu menjadi semakin parah sehingga akhirnya beliau dijemput Ilahi. 

Diriwayatkan bahawa Malaikat Jibril AS turun bertemu Nabi SAW dan berkata: 

Wahai Nabi Allah, kepada siapakah dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan arasy Allah bergegar disebabkannya?”

Lalu, barulah Baginda tahu rupanya Sa’ad telahpun meninggal dunia.
Read Entire Article