RUU Anti Hendap antara terawal dibentang di Parlimen

2 months ago 35

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Berkaitan Anti Hendap akan menjadi antara yang terawal dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan depan. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, RUU ini dibentang pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) yang akan bermula tidak lama lagi. 

Katanya, Rang Undang-Undang yang terlibat ialah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2022.

“Takwim baharu bagi sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) bagi Dewan Rakyat adalah pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara. 

“Perubahan takwim kali ini bagi membolehkan pembentangan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2023 dipercepatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sabtu lalu, Mas Ermieyati memaklumkan denda dan penjara maksimum tiga tahun menunggu sesiapa yang disabitkan kesalahan menghendap secara fizikal atau maya apabila RUU ini diluluskan.

“Pindaan terhadap Akta 574 Kanun Keseksaan (Pindaan 2022) dengan memasukkan Seksyen 507 akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara.

“Malah, mengikut Seksyen 507A, sesiapa yang berulang melakukan gangguan atau kekerasan hingga menyebabkan seseorang mengalami tekanan, disifatkan sebagai melakukan kesalahan,” katanya. –UTUSAN

The post RUU Anti Hendap antara terawal dibentang di Parlimen appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article