Rezeki ‘ringan tulang’, anak pemandu lori terima pembiayaan Sulung

2 months ago 48

ALOR GAJAH: Sifat ‘ringan tulang’ seorang mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang rajin melakukan kerja sampingan sejak di bangku sekolah untuk membantu keluarga akhirnya berbalas, selepas dia mendapat pembiayaan penuh bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda.

Muhammad Hakimi Yunus, 19, berkata, rezekinya terpilih sebagai salah seorang penerima Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) disifatkan sebagai hadiah paling berharga buat keluarga yang sekian lama menempuh pelbagai ranjau kehidupan.

Kata anak sulung daripada tiga adik beradik itu, impian bapanya Yunus Hussain, 51, dan ibu, Sony Listiyo Rini, 47, yang masing-masing hanya bekerja sebagai pemandu lori dan peniaga kuih-muih untuk melihat dirinya memegang segulung ijazah kini bakal menjadi kenyataan.

Jelasnya, sebelum ini ketika berada pada pengajian peringkat asasi di USIM, dia nekad melakukan kerja sampingan di sebuah restoran bagi mengumpulkan wang untuk yuran pendaftaran sarjana muda.

“Alhamdulillah hari ini saya dapat pembiayaan penuh termasuk yuran pengajian, belanja harian dan tempat penginapan secara percuma. Saya boleh lebih fokus untuk meneruskan pengajian dalam jurusan kejuruteraan elektronik di USIM selama empat tahun.

BANTU

“Sejak kecil memang saya suka melakukan kerja sampingan untuk bantu keluarga. Saya sedar keluarga bukan orang berada, jadi saya perlu lakukan sesuatu meskipun tidak diminta atau disuruh kedua ibu bapa.

“Saya pernah bekerja di kilang sos semasa cuti sekolah dan pelbagai lagi jenis pekerjaan sejak tingkatan tiga. Pembiayaan Sulung yang diterima hari ini bukan sahaja tuah kepada diri saya, tetapi kepada seluruh keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Durian Tunggal di sini hari.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang menziarahi keluarga itu untuk menyerahkan surat tawaran program berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata, selepas menamatkan pengajian di USIM, Muhammad Hakimi juga bakal ditawarkan pekerjaan secara terus, yang juga salah satu inisiatif terkandung dalam Sulung. 

“Hakimi adalah seorang daripada 76 peserta Sulung kumpulan pertama dan pada tahun in baru kita perkenalkan program ini. Sulung adalah terbuka kepada pelajar-pelajar yang dapat masuk ke universiti awam dan dia adalah anak pertama dalam keluarga yang berjaya mendapat tempat ke universiti.

“Dengan harapan penerima akan dapat sedikit sebanyak mengubah kehidupan keluarga dan menjadi contoh kepada adik beradik yang lain,” katanya.- UTUSAN

 

The post Rezeki ‘ringan tulang’, anak pemandu lori terima pembiayaan Sulung appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article