Rating rendah tidak berkekalan

1 week ago 15

SAUDARA PENGARANG,

KAMI merujuk kepada rencana bertajuk Data kaji selidik tidak semesti tepat yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia, semalam.

Badan kaji selidik sosiopolitik yang telah menjadi sebahagian daripada landskap media dan penelitian politik negara adalah perkembangan positif yang mencerminkan kematangan dan keterbukaan masyarakat kita terhadap perbezaan pendapat serta usaha membantu membuat keputusan berasaskan data.

Apabila topik kaji selidik menyentuh politik, ia tentu akan menjemput pelbagai komen yang menyokong ataupun menyanggah apabila sesuatu penemuan itu tidak memihak kepada pihak-pihak yang berkepentingan.

Baru-baru ini, data kami berkenaan tahap puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dipetik dan ia dipersoal oleh pihak tertentu kerana tidak menyamai tanggapan mereka yang mungkin lebih positif terhadap pimpinan tertinggi negara.

Turut disentuh adalah liputan media terhadap kajian Merdeka Center sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018. Dalam konteks ini, kami ingin menjelaskan tanggapan terhadap kajian-kajian ini:

1. Setiap kajian kami yang cuba mengukur pilihan pengundi terhadap parti yang bertanding, berhadapan dengan sejumlah 25-30 peratus pengundi yang tidak ingin menyuarakan parti pilihan mereka.

Maka dalam konteks tersebut kami akan membuat andaian berasaskan prestasi masa lampau sebagai indikator tambahan. Hal ini turut dirumitkan oleh sistem Parlimen Westminster yang diamalkan di negara kita di mana tahap sokongan secara umum tidak semestinya dicerminkan di dalam pilihan parti di peringkat daerah yang mempunyai pelbagai lagi faktor seperti calon, isu tempatan, jaringan parti tempatan yang bertanding, berbezaan pola sokongan menurut wilayah serta sentimen saat akhir yang sebenarnya dapat dilihat berlaku pada PRU14.

2. Keadaan sewaktu PRU14 turut dipengaruhi ketidaktentuan peratusan keluar mengundi kerana pilihan raya ketika itu diadakan pada hari bekerja (Rabu). Perkara tersebut telah dikenal pasti sebagai faktor yang boleh mempengaruhi keputusan akhir.

Namun, dalam konteks sedemikian, kajian kami pada PRU14 yang lalu sebenarnya dapat membuat anggaran nilai undi popular yang hampir sama dengan keputusan sebenar.

3. Dalam konteks penelitian tahap puas hati pengundi kepada pemimpin pula, kami boleh menjelaskan bahawa ia banyak bergantung kepada keadaan dan faktor semasa.

Tahap populariti tinggi yang dinikmati oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berlaku atas dukungan tinggi pengundi Melayu yang majoriti besarnya menyokong peralihan kuasa yang berlaku pada Mac 2020 serta penerimaan baik mereka terhadap kaedah bagaimana pentadbiran beliau menangani krisis Covid-19 pada peringkat awal sehinggalah permulaan pelaksanaan program vaksinasi.

Positif

4. Tahap sokongan yang rendah kepada Ismail Sabri pula berlaku apabila perpecahan sokongan dalam kalangan penyokong kerajaan telah pun berlaku bermula dari permulaan suku kedua 2021 apabila UMNO memutuskan bahawa kerjasama parti tersebut dengan Perikatan Nasional (PN) tidak akan diteruskan selepas penggal politik ini berakhir.

Ini bermaksud, kerjasama yang bersifat sementara ini telah menjauhkan para penyokong PN yang kini tidak lagi bersama dengan pentadbiran sedia ada. Pada masa yang sama, kerisauan terhadap keadaan ekonomi masih tinggi dan sejak beberapa bulan yang lepas pengundi terkesan dengan tekanan harga barang serta kenaikan kadar faedah bank.

Pokoknya, penemuan seperti ini adalah snapshot sentimen pengundi sewaktu sesuatu kajian dilakukan. Skor atau dapatan ini adalah dinamik dan berubah mengikut masa, isu dan tanggapan apa yang dianggap penting oleh pengundi pada waktu ia dilakukan.

Ketepatan kajian bergantung kepada bagaimana sampel pengundi dibuat dan jumlahnya. Bagi kami di Merdeka Center, sampel yang dipetik untuk setiap kajian diambil dari setiap satu kawasan Parlimen yang berjumlah 222 di seluruh negara.

Ia disaring untuk memastikan sampel yang terbentuk mewakili profil pengundi dari aspek kaum, umur, jantina dan tahap sosioekonomi. Margin kesilapan yang bersangkutan sampel sedemikian adalah sekitar 3.10 peratus.

Kaedah kajian seperti ini telah pun dilakukan oleh pelbagai agensi pentadbiran untuk mengukur dan memperbaiki mutu perkhidmatan awam serta oleh pihak swasta untuk tujuan menambah baik mutu produk dan penyampaian maklumat kepada pelanggan.

Oleh yang demikian, rating rendah pada masa sekarang tidak semestinya berkekalan. Ia boleh berubah ke arah yang lebih positif sekiranya langkah-langkah penambahbaikan dilakukan dengan segera, khususnya tumpuan diberikan kepada perkara yang paling merunsingkan para pengundi iaitu bidang ekonomi dan keadaan kewangan isi rumah di negara kita.

Penemuan kajian dari badan kaji selidik nonpartisan seperti Merdeka Center dan Ilham Centre harus dilihat sebagai indikator atau panduan bagi membentuk strategi penambahbaikan yang menjurus kepada perubahan positif. – UTUSAN

MERDEKA CENTER, Petaling Jaya

The post Rating rendah tidak berkekalan appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article