PRU15: PH selesai pembahagian kerusi 

2 months ago 40

GEORGE TOWN: Parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah menyelesaikan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Presiden PH yang akan bermesyuarat Rabu ini.

“Sehingga kini, semua negeri sudah selesai kecuali Kedah dan Sabah, namun dijangka dapat diselesaikan sebelum Rabu.

“Keputusan rundingan akan dibawa ke Majlis Presiden pada Rabu ini. Kita yakin akan dapat selesaikan menjelang Rabu ini, maka saya boleh katakan rundingan untuk kerusi Parlimen telah selesai,” katanya   ketika ditemui selepas mengadakan sesi ‘townhall’ di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, parti komponen PH juga akan mendapat lebihan kerusi untuk ditandingi pada PRU15 memandangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi bersama PH.

“Semua parti akan dapat lebih kerusi sebab Bersatu dahulunya bertanding 52 kerusi. Jadi kerusi Bersatu ini akan ditandingi oleh DAP, PKR dan Amanah mengikut kesesuaian setiap kerusi itu. Oleh itu, memang semua  parti akan dapat kerusi lebih,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau mahu bertanding di kerusi Parlimen Pandan pada dan perkara itu  sudah disuarakan kepada pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun, katanya, soal calon yang bertanding pada PRU15 nanti belum dimuktamadkan oleh pimpinan parti.

Sementara itu, katanya, Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang kini menjadi penyandang kerusi Parlimen Pandan akan menjadi senjata rahsia bagi PKR dalam pilihan raya nanti.

”Perbincangan dalaman sama ada Wan Azizah main peranan dan bentuk peranan yang akan dimainkan, semua itu kita kena bincang secara dalaman dengan tuan punya diri dahulu.

“Cuma kita ada kelebihan kerana Wan Azizah sangat ‘versatile’ dan dia sudah pun buktikan. Itu adalah senjata rahsia kita,” katanya.- UTUSAN

 

The post PRU15: PH selesai pembahagian kerusi  appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article