Projek LCS: Wan Saiful dakwa UMNO cuba alih perhatian rakyat

1 month ago 34

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa UMNO cuba mengalih perhatian rakyat dengan menunjukkan bahawa kapal tempur pesisir (LCS) itu wujud. 

Ini kerana katanya, isu sebenar bukan sama ada kapal itu wujud atau tidak, tetapi, isunya ialah projek itu sudah terlalu jauh tersasar dari tempoh siap yang dinyatakan dalam kontrak.

Selain itu, kata Wan Saiful, proses pembinaannya juga tidak sepadan dengan jumlah sebanyak RM6 bilion yang dibayar oleh kerajaan untuk projek berkenaan.

“Kenapa tiada tindakan apabila projek sebegini besar lari jauh dari tarikh siap yang dipersetujui? Kenapa duit dibayar begitu banyak sehingga tidak sepadan dengan perjalanan projek?

“Kenapa pandangan Panglima TLDM ditolak sehingga kapal yang dibeli bukan kapal yang dikehendaki oleh TLDM? Adakah ada apa-apa salah laku di sebalik skandal ini atau adakah ada sesiapa kaut untung hingga berbilion ringgit,” soal Wan Saiful dalam kenyataannya.

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan LCS milik TLDM bernilai yang bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus namun, tiada kapal yang diterima setakat ini.

Selain itu kata Wan Saiful, dia menjangkakan UMNO akan bermati-matian cuba melarikan perhatian rakyat dan mengelirukan rakyat kerana  pemimpin tertinggi parti itu dinamakan secara terus dalam laporan PAC. 

“Ismail Sabri (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) jangan jadi pak turut. Tunjuk sedikit kepimpinan sebagai Perdana Menteri. 

“Kita mahu Perdana Menteri yang berani, bukan penakut. Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera untuk siasat skandal mega pemimpin UMNO ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

The post Projek LCS: Wan Saiful dakwa UMNO cuba alih perhatian rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article