
TUGAS dan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya dekat di mata masyarakat serta bukannya sekadar berperang mengangkat senjata semata-mata.
Buktinya banyak dilihat menerusi pelbagai khidmat masyarakat dalam Program Jiwa Murni terutama ketika musim banjir atau membabitkan sebarang kejadian bencana alam.
Walaupun diperkenalkan sejak era 70-an ketika peperangan menentang pengganas komunis, program seumpama ini terbukti sebagai medium bagi menjalinkan hubungan erat antara ATM dan masyarakat.
Justeru pendekatan ini masih diteruskan sehingga kini untuk memberi pemahaman tugas ATM selain memberi kepercayaan masyarakat terhadap salah satu cabang keselamatan negara ini.
Semua program telah berjaya dilaksanakan tanpa mengira kawasan, negeri atau masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak ketinggalan dalam melaksanakan program-program yang berpaksikan rakyat dalam mendukung Pelan Strategik Mindef 2021-2025 iaitu dalam memperkukuhkan kerjasama awam-tentera demi pertahanan menyeluruh.
Antara program yang berjaya dilaksanakan termasuk pemberian sebuah bot dengan kerjasama Sandakan Jaya Teknik Sdn. Bhd.
Ia bagi membantu komuniti tempatan dan guru di Sekolah Kebangsaan Pulau Timbang, Sandakan, Sabah.
Menurut Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Muda Datuk Roslan Yunus, demografi sekolah yang hanya boleh diakses melalui jalan air sehingga berpotensi membantutkan aktiviti seharian pelajar dan guru menjadi faktor program bersama rakyat diwujudkan di kawasan tersebut.
“Dalam majlis penyerahan bot pada 11 Mei lalu, TLDM turut berkongsi peluang kerjaya kepada belia di sana.

“Maklum balas yang diterima amat baik terutama kanak-kanak yang menunjukkan minat menyertai pasukan pertahanan negara. Mereka sentiasa positif dan bercita-cita tinggi berbakti kepada negara, namun samar akibat jurang komunikasi dan geografi.
“Justeru, inisiatif TLDM seperti ini dapat memberi pendedahan, membuka minda dan menyuntik semangat pelajar untuk terus menyulam cita-cita,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. – UTUSAN
The post Program Jiwa Murni: TLDM tumpu kawasan pedalaman Sabah appeared first on Utusan Malaysia.