Polis rampas mesin perlombongan bitcoin bernilai RM32,000

1 week ago 17

BATU PAHAT: Polis daerah ini berjaya merampas sebanyak 32 unit mesin ‘mining bitcoin’, masing-masing sebuah ‘router’ internet dan komputer yang dianggarkan bernilai RM32,000 daripada sebuah premis yang menjalan perlombongan bitcoin di Taman Flora Utama, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, serbuan dilakukan pada pukul 4.30 petang selepas menerima laporan daripada pemilik premis yang menyatakan rumah kedai disewakannya berada dalam keadaan tidak berkunci dan pendawaian elektrik telah diubah suai.

Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat ke tempat kejadian dan mendapati di dalam premis mengandungi mesin ‘mining bitcoin’ yang telah dipasang dalam keadaan dihidupkan.

“Siasatan mendapati, hasil kegiatan ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menanggung kerugian yang dianggarkan sebanyak RM150,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379, 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang boleh dihukum denda ataupun penjara, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan juga mendapati premis berkenaan sudah disewakan sejak sembilan bulan lalu dan usaha mengesan penyewanya giat dilakukan. – UTUSAN

The post Polis rampas mesin perlombongan bitcoin bernilai RM32,000 appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article