Polis pertahan tindakan lepas gas pemedih mata terhadap perusuh

2 months ago 45

MALANG: Angka korban rusuhan ganas melibatkan kumpulan penyokong kelab bola sepak Arema dan Persebaya Surabaya yang berlaku di sini meningkat kepada sekurang-kurangnya 125 orang, termasuk dua anggota polis.

Insiden itu disifatkan sebagai satu daripada ‘tragedi paling dahsyat’ dalam sejarah bola sepak dunia.

Rusuhan itu bermula selepas penyokong Arema di Stadium Kanjuruhan menyerbu padang selepas pasukan itu kalah 3-2 dalam perlawanan dengan Persebaya Surabaya.

Pemain Arema yang masih berada di padang turut diserang para penyokong yang mendakwa mereka adalah punca pasukan itu kalah.

Polis memaklumkan mereka cuba meredakan keadaan dengan meminta para penyokong bersurai dan meninggalkan stadium.

Namun, keadaan semakin tidak terkawal menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata, menyebabkan para penyokong panik dan cuba melarikan diri.

Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan berlakunya rempuhan, menyaksikan ramai pengunjung dipijak dan mengalami sesak nafas sehingga maut.

Ketua Polis Jawa Timur, Nico Afinta memaklumkan, kebanyakan pengunjung berasak-asak ke pintu keluar utama selepas polis melepaskan gas pemedih mata.

Pada awalnya, Nico memberitahu jumlah kematian seramai 127 orang sebelum diturunkan kepada 125 dan lebih 300 cedera.

Bagaimana pun, angka korban melibatkan mangsa dalam insiden tersebut berbeza-beza mengikut pelbagai sumber.

Ada sumber yang melaporkan jumlah korban melebihi 182, dan ada juga memaklumkan angkanya lebih rendah iaitu 139 orang.

Pengarah di sebuah hospital yang merawat mangsa memberitahu media tempatan, antara yang terkorban termasuk kanak-kanak berusia lima tahun.

Beberapa imej yang disiar dalam saluran berita tempatan menunjukkan keadaan kecoh di dalam stadium dengan para pengunjung memanjat pagar untuk keluar selepas gas pemedih mata dilepaskan.

Stadium tersebut mampu memuatkan kira-kira 42,000 pengunjung dan ketika kejadian, dianggarkan 3,000 penonton menyerbu padang.

“Ingin kami tegaskan bahawa bukan semua penonton terlibat dalam rusuhan itu, kira-kira 3,000 yang turun ke padang dan merusuh,” ujar Nico.

Dalam pada itu, kerajaan Indonesia memohon maaf terhadap insiden yang berlaku dan berjanji akan menyiasat punca kejadian.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan insiden itu disiasat secara menyeluruh melibatkan semua pihak.

Menerusi ucapan televisyen, Jokowi meminta Menteri Sukan dan Belia, Zanudin Amali mengambil kira semua faktor yang mencetuskan rusuhan tersebut.

“Apa yang berlaku amat menakutkan dan mengecewakan semua orang, terutamanya ada penonton yang terkorban.

“Sepatutnya, kita nikmati peluang yang ada (menonton bola di stadium) selepas lebih tahun perkara itu tidak dibenarkan akibat pandemik Covid-19,” kata Zainudin.

Sementara itu, Arema dan Persebaya Surabaya merupakan ‘musuh lama dalam padang’, malah penyokong Persebaya tidak dibenarkan membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan tersebut kerana dibimbangi berlaku insiden tidak diingini.

 

The post Polis pertahan tindakan lepas gas pemedih mata terhadap perusuh appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article