Polis iringi bekas dua Perdana Menteri Thailand atas faktor keselamatan

1 week ago 18

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mengesahkan dua bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan adik perempuannya, Yingluck Shinawatra berada di negeri ini untuk tujuan peribadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kedua-dua individu itu juga diiringi anggota polis atas faktor keselamatan bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

”Ya, kedua-duanya (Thaksin dan Yingluck) ada di Pulau Pinang dan saya sahkan ada kawalan keselamatan daripada polis.

“Mereka berdua adalah individu yang dikenali dan orang berkepentingan kerana kedua-duanya bekas Perdana Menteri Thailand. 

“Pihak polis memberi kawalan keselamatan kepada mereka kerana bimbang kemungkinan ada pihak yang berniat tidak baik terhadap mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Sebelum ini, Yingluck memuat naik di laman sosial Facebook beberapa gambar bercuti di Pulau Pinang bersama Thaksin.

Thaksin merupakan Perdana Menteri Thailand sejak 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 manakala Yingluck adalah Perdana Menteri wanita pertama di Thailand dan berkhidmat antara 2011 dan 2014.

Menurut Mohd. Shuhaily, beliau tidak mahu pihak polis dipersalahkan sekiranya berlaku kejadian buruk kepada kedua-dua individu tersebut ketika berada di Pulau Pinang.

“Kalau berlaku apa-apa, semua orang akan salahkan polis kerana gagal menjaga keselamatan awam termasuk pelancong luar. 

”Semua pihak akan bercakap mengenai keselamatan Pulau Pinang dan negara ini jika berlaku kejadian tidak diingini terhadap mereka,” katanya. – UTUSAN

The post Polis iringi bekas dua Perdana Menteri Thailand atas faktor keselamatan appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article