Pimpinan Parti Ucap Tahniah Atas Pelantikan Wakil BN Dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

1 month ago 35

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan tahniah kepada semua wakil Barisan Nasional (BN) yang dilantik Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan terutama Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad di dalam Twitternya turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan), Naib Presiden Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) dan beberapa pemimpin parti.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan 28 orang barisan Menteri Kabinetnya yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gagasan Rakyat Sabah (Sabah) dan beberapa parti yang lain.

Selain Ahmad Zahid, Mohamad dan Khaled, turut dilantik Setiausaha Agung Barisan Nasional yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Luar Negeri; Ahli MKT UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi); dan Bendahari BN Negeri Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Enam orang tokoh yang mewakili UMNO dan BN. Selamat bertugas dengan cemerlang. Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri,” ciap Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Dalam hal yang sama, Ahli MKT UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkeyakinan dan berharap barisan Kabinet yang dilantik itu mampu memenuhi segala impian rakyat.

“Justeru semoga semua dapat berbakti dengan baik demi negara dan rakyat yang kita cintai,” ujarnya dalam satu lontaran di Facebook.

Sementara itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu turut merakamkan tahniah kepada semua yang dilantik.

“Tahniah juga buat Menteri yang mewakili BN yang dilantik dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan ini.

“Mudah-mudahan pasukan jemaah menteri ini mampu memenuhi harapan dan aspirasi rakyat dalam usaha memulihkan semula ekonomi serta mencapai kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran negara.

“Semoga semua dapat menyumbang khidmat bakti dengan baik kepada seluruh rakyat dan negara yang tercinta,” ujar Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Said dalam satu hantaran di Facebook.

Manakala bagi Ahli MKT UMNO Datuk Rais Yasin berpandangan barisan Kabinet kali ini benar-benar mencerminkan betapa dinamika politik BN telah berjaya membawa agenda kestabilan demi kemakmuran negara.

“Ayuh, ketepikan dahulu perbezaan politik dan kita raikan kebersamaan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malaysia kesepuluh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Insya-Allah, inilah barisan pemimpin BN yang diyakini mampu membawa denyut nadi rakyat agar terus mendapat pembelaan. Ingat, sekarang bukan lagi masa untuk menoleh ke belakang, tetapi inilah waktunya kita berganding bahu membawa rakyat dan negara menuju kemajuan dan kemakmuran.

“Semoga barisan kabinet kerajaan yang baru ini akan saling bekerjasama dan bersatu padu demi Malaysia yang tercinta,” kata Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu lagi. – UMNO ONLINE

Read Entire Article