Pihak Lawan Cemburu, Tunggu Masa Untuk Lihat BN Berpecah – Dr Noraini

1 month ago 35

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihak lawan sebenarnya cemburu dan iri hati melihat parti berkenaan kembali mendapat sokongan sedangkan mereka masing-masing hanya menunggu untuk melihat BN berpecah.

Justeru Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO mengajak seluruh jentera parti pelbagai peringkat berada dalam satu saf perjuangan dan dalam satu barisan yang kukuh untuk menghadapai segala cabaran khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pihak lawan cemburu dengan kita. Mereka tunggu-tunggu kita berpecah… mereka sungguh-sungguh, ingin melihat kita saling berbalah dan saling bertelagah. Kita tiada pilihan lain dan kita mesti perkukuhkan saf kesatuan kita… atas semangat keluarga besar BN sederap kita melangkah, kita langkah maju bersama… ‘Let’s step forward together… Let’s keep moving’,… sampai BN menang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Konvensyen Wanita BN yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut bersama Ketua-Ketua Wanita komponen BN serta pimpinan pusat dan negeri.

Noraini seterusnya menambah konvensyen yang diadakan pada hari ini adalah kemuncak kepada pra-konvensyen yang telah diadakan di seluruh negara dan ianya telah berjaya mengumpulkan pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat.

Katanya, ini juga tambahnya lagi termasuklah saranan dan resolusi dari akar umbi negeri-negeri untuk diangkat ke konvensyen hari ini agar ianya sama-sama laksanakan dan seterusnya menjadi asbab untuk masing-masing bekerja serta bergerak dengan lebih pantas lagi.

Noraini seterusnya menekankan bahawa setiap jentera Wanita perlu berada dalam ‘mood’ pilihan raya dan sungguh pun BN telah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka serta Johor, namun yang dikejar adalah ‘JUARA’.

“Hari ini, suka atau tidak, ‘mood’ kita adalah bersedia ke ‘medan juang’ pada bila-bila masa. Memang kita dah menang bergaya pada PRN Melaka. Betul kita dah menang selesa pada PRN Johor. Tetapi, kita sebenarnya masih mengejar menjadi ‘JUARA’.

“Jadi sekarang ini, kita mesti pastikan, segala usaha, program dan inisiatif yang telah kita lakukan demi membantu rakyat, penyudahnya pada PRU 15… kita mesti menjadi ‘JUARA’… kita mesti menang dalam PRU ke-15,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini turut berkongsi dapatan resolusi daripada 13 wakil wanita hasill daripada pra-Konvensyen yang telah dibuat di negeri masing-masing.

“Pelbagai resolusi telah dilontarkan merangkumi sektor Pendidikan, Pengajian Tinggi, IT dan Teknologi, Wanita Dalam Pentadbiran, Kebajikan dan Agama, Keselamatan dan Sosial, serta juga Ekonomi.

“Demi kemenangan di Pilihan Raya Umum, melalui konvensyen ini kita perlu menyemak, meneliti dan memfokus kepada isu-isu utama rakyat, supaya tawaran baharu kepada rakyat dalam Aku Janji Barisan Nasional untuk PRU 15, betul-betul yang diperlukan dan memanfaatkan rakyat.

“Iktibarnya, segala kekurangan, segala kelemahan dan kekuatan gerak kerja Wanita BN berdasarkan pengalaman JR dalam PRU 14 lalu, telah diambil pengajaran,” ujarnya.- UMNO Online

Read Entire Article