Perubahan iklim punca Bandung semakin panas

2 months ago 59

JAKARTA: Diberi gelaran Paris of Java oleh Belanda, Bandung berlatarkan suhu sejuk sepanjang tahun dan pemandangan banjaran gunung yang menenangkan serta ladang teh menghijau telah mencuri hati ramai pelancong termasuk dari Malaysia.

Terletak 768 meter dari aras laut, Bandung, ibu kota Jawa Barat dan bandar keempat terbesar di Indonesia kini merupakan antara destinasi pelancongan utama untuk pengunjung tempatan dan asing.

Bandung yang mempunyai udara paling bersih dalam kalangan bandar utama di ASEAN   membolehkannya merangkul anugerah kelestarian alam sekitar serantau pada 2017.  

Bagaimanapun, kini Bandung tidak seperti dulu, cuaca di sini semakin panas seperti kata pakar sains atmosfera dari Institut Teknologi Bandung, Zadrach L. Dupe.

Zadrach L. Dupe berkata purata suhu permukaan di Bandung dari 1975 hingga 2020 telah meningkat tiga darjah Celsius, berbanding 22.6 darjah Celsius kepada 25.6 darjah Celsius.

“Peningkatan suhu purata yang berterusan menunjukkan perubahan iklim sedang berlaku,” katanya pada webinar ‘Bandung Hareudang’ yang diadakan baru-baru ini.

‘Hareudang’ bermaksud panas dalam bahasa Sunda, iaitu bahasa yang digunakan majoriti penduduk di Bandung. 

Webinar itu anjuran Alliance of Independent Journalists (AJI) BandungAJI Indonesia dan Google News Initiative.

Peningkatan suhu di Bandung sejak 45 tahun lalu bukan sahaja disebabkan oleh pemanasan global tetapi juga kesan daripada pembangunan pesat dan pertambahan penduduk.

Kawasan hijau di Bandung merosot kepada 12 peratus pada 2021 berbanding 35 peratus pada 1970, sebahagiannya disebabkan penggunaan tanah untuk pembangunan.

Jumlah penduduk melonjak kepada 2.44 juta orang pada 2020 berbanding 177,659 pada 1940.

“Dalam tempoh yang sama, jualan tahunan motosikal dan kereta di Bandung meningkat kepada 108,000 unit daripada 15,000 unit,” kata Zadrach, sambil menambah bahawa setiap kereta boleh menghasilkan lima tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun.

Fenomena El Nino yang berpanjangan pada tahun 2020 juga menyumbang kepada peningkatan suhu di Bandung dan bahagian lain di Indonesia.

Walaupun sukar untuk memahami sama ada kenaikan suhu boleh dihentikan atau kembali kepada suhu seperti dulu, Zadrach mencadangkan sebarang pembangunan yang dibuat perlu mengambil kira keseimbangan alam semula jadi.

“Sekarang pemuliharaan tenaga, air dan alam sekitar yang hijau mesti menjadi keutamaan kita di dunia,” katanya. – BERNAMA

Read Entire Article