Perjumpaan UMNO dengan Presiden, PM Selasa ini

2 months ago 62

PONTIAN: UMNO akan mengadakan perjumpaan khas dengan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa ini.

Mengesahkan perkara tersebut, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perjumpaan khas itu melibatkan semua Ketua UMNO Bahagian selain sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian yang akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra {PWTC} pada pukul 2 petang.

Menurut beliau, perjumpaan khas itu akan dihadiri 764 wakil terdiri daripada Ketua Bahagian, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Wanita Bahagian dan Ketua Puteri Bahagian yang mewakili 191 Bahagian UMNO dari seluruh negara.

“Saya ingin mengesahkan pada Selasa ini akan ada perjumpaan khas sebagaimana yang terkandung dalam surat tular yang mempunyai  tanda tangan saya itu,” katanya selepas merasmikan Karnival Ayuh Cergas Warga Emas Cemerlang di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Semalam, surat ditandatangani Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian membabitkan Perjumpaan Khas Bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri tular dalam media sosial, sekali gus mencetuskan spekulasi tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah semakin hampir.

FOKUS

Ahmad berkata,  persiapan menghadapi PRU15 akan menjadi fokus utama perjumpaan khas itu. 

“Perjumpaan khas ini bukan rahsia kerana ia adalah perjumpaan untuk mendengar mandat Presiden dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai persiapan PRU15.,” ujarnya. 

Katanya, UMNO sudah memohon PRU15 diadakan pada tahun ini, namun bukanlah  diadakan  ketika banjir, mungkin Oktober atau November ini kerana banjir selalunya pada Disember dan Januari.

Namun,  beliau juga tidak menolak kemungkinan soal calon PRU15 juga akan disentuh dalam perjumpaan itu.

“Presiden UMNO dan Perdana Menteri akan berucap pada perjumpaan khas nanti, UMNO belum muktamadkan soal calon,  namun kita perlu dengar dahulu apa yang hendak disampaikan kedua-dua pimpinan utama ini,” jelasnya.

Walau bagaimanapun,  Ahmad.menegaskan bahawa   UMNO tetap menggariskan ciri calon ‘Wali’ iaitu winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi) seperti yang ditetapkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil PRK) sebelum ini.- UTUSAN

The post Perjumpaan UMNO dengan Presiden, PM Selasa ini appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article