Pentingnya mengikat anak-anak dengan masjid

3 months ago 99

DUNIA hari ini, anak kecil di tadika pun sudah pandai berlumba-lumba menyahut cabaran #makehimwannamarryme di TikTok.

Sebab itulah, sukar untuk saya menerima wujudnya kejadian seperti video di bawah ini di masjid-masjid kita.

Anak kecil yang hadir ke masjid, sukarela atau terpaksa, berbaris lurus di saff atau melompat terpekik, kesemuanya adalah permata yang kita perlu santuni.

Tahun ini sahaja, kita ada 6,850 buah masjid di seluruh negara. Sedihnya, di kebanyakan masjid-masjid ini, jarang untuk kita jumpa jemaah masjid yang melebihi satu atau dua baris saff untuk satu-satu solat jemaah.

Maksudnya apa? Tak sampai 5-10 peratus pun jumlah penduduk setempat yang mahu ke masjid.

Dalam jumlah yang ada itu pula, kehadiran golongan pesara dan warga emas adalah pemandangan biasa.

Tidak layak untuk kita bertanya di mana anak muda, jika kita sendiri menjadi jemaah yang tidak mesra anak kecil. 

Kesian sungguh anak-anak kecil ini, dijamu dengan tengkingan, marah-marah dan pandangan negatif jemaah yang lebih dewasa.

Sikap kita inilah yang menghalang langkah anak remaja kita ke masjid walaupun masjid itu hanyalah di sebelah rumah mereka.

Sahabat-sahabat, janganlah kita mengasingkan peranan masjid dalam pendidikan anak-anak.

Pendidikan Islam tidak cukup dengan hanya di sekolah. Masjid adalah tempat terbaik untuk kita mencanai anak-anak muda yang akan menjadi penyambung mata rantai perjuangan Islam.

Mereka inilah yang akan menjadi benteng agama di saat anak-anak muda yang lain terbenam hanyut dengan arus Hedonisme yang rancak menyerang pemikiran anak muda Islam.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 27/6/2022

The post Pentingnya mengikat anak-anak dengan masjid appeared first on HarakahDaily.

Read Entire Article