Penerbit Filem Gadis Jolobu Bakal Saman Zhafvlog?

1 month ago 166

Gara-gara komen yang didakwa boleh menjatuhkan dan keterlaluan, penerbit filem Gadis Jolobu The Movie bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemilik saluran YouTube dikenali sebagai Zhafvlog.

Menurut Penerbit Eksekutif serta pengasas bersama Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, tindakan juga diambil susulan ulasan yang didakwa beradab dilemparkan yang antaranya menggelar karya berkenaan sebagai ‘infinity shit.’

“Saya tidak tahu siapa YouTuber ini? Adakah mempunyai kelayakan mengkritik filem?

“Kalau YouTuber ini pengkritik filem berkelayakan dan ada ilmu perfileman, saya mungkin boleh mempertimbangkan kritikan diberikan.

“Tetapi, lontaran bahasanya bukan cerdik pandai seperti pengkritik filem. Jadi, saya dan CL Hor juga mempunyai hak mempertahankan maruah dan karya dihasilkan.

“Saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman. Tunggu surat saman akan sampai tidak lama lagi,” katanya.

Saraleana berkata, dia sedar kemunculan platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram membolehkan sesiapa sahaja membuat ulasan filem, sekali gus menjadi pengkritik filem.

Namun, menurutnya, penggunaan bahasa kurang adab bagi menarik perhatian dalam membuat sesuatu ulasan bukanlah cara yang baik.

“Seharusnya, kritikan diberikan menggunakan bahasa yang sesuai mengikut etika agar tidak menyinggung perasaan sesiapa, terutama penerbit yang mengeluarkan bajet berjuta-juta untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Saya mungkin penerbit baharu, tetapi saya tidak terasa disebabkan mempunyai sokongan kuat. Cuma, saya risaukan penerbit baharu yang mungkin tiada sokongan seperti saya.

“Saya percaya pasti ada yang luntur semangat apabila filem menjadi mangsa kritikan. Adakah YouTuber ini layak memberi kritikan filem dengan bahasa tidak beradab seperti ini?

“Caranya salah kerana apa yang ditulis adalah fitnah. Nak kritik biarlah ada ilmu filem, bukan berdasarkan serangan peribadi,” tegasnya lagi.

Bagaimanapun, Saraleana berkata, dia optimis selepas menerima komen positif daripada Yang-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang mencemar duli menghadiri tayangan filem Gadis Jolobu bersama barisan pelakon di GSC Pall Mall, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saraleana turut menafikan filem Gadis Jolobu mempunyai adegan lucah yang boleh menjatuhkan imej filem tempatan.

“Jika ada elemen lucah, seksi atau sebagainya, sudah tentu tidak melepasi Lembaga Penapisan Filem (LPF). Ia bermaksud tiada adegan lucah dalam filem ini,” katanya.

Gadis Jolobu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 Ogos lalu.

Filem arahan CL Hor ini dibintangi Datuk Hattan, Ahirine Ahirudin, Joey Daud dan Khir Rahman.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

The post Penerbit Filem Gadis Jolobu Bakal Saman Zhafvlog? appeared first on Media Hiburan.

Read Entire Article