Pemuda budiman pada keluarga

3 months ago 150

SEBETULNYA saya terkesan dengan sosok peribadi Ustaz Talhah Abdul Rahman, penerima anugerah Tokoh Suami Budiman Tahun 2020, Kerajaan Negeri Kelantan di bawah portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan yang meninggal semalam.

Pemergian selang 22 hari setelah kematian isteri yang koma 10 tahun 2 bulan. Apa yang saya terkesankan adalah kekuatan kasih sayang sang suami yang pasti telah mengenepikan kepentingan sendiri dengan memberikan tumpuan jagaan kepada isteri yang koma. 

Inilah barangkali namanya cinta sebenar, dan Allah takdirkan pengakhiran cinta ini dengan sebuah larakan kisah kematian yang menjentik hati kita semua.

Anak muda, saya selitkan secangkir kisah cinta suami isteri yang wajar diteladani. Hargailah pasangan kita seadanya. 

Dalam meneruskan perjuangan, apa kata kita sisakan juga sedikit hak pada keluarga. Apa lagi di waktu ini, ketika kita menantikan tarikh pilihan raya, menanti semboyan dibunyikan untuk PRU, kita rapatkan saf bermula dari keluarga.

Adat pemuda yang berjuang, kita gandakan kekuatan untuk memimpin keluarga, agar urusan memimpin ummah dimudahkan Azzawajalla rahman.

Insya-Allah, ziarah anak beliau akan diusahakan mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Semoga anak-anak arwah Ustaz Talhah dan Ustazah Zareef akan membesar menjadi anak soleh sehebat sosok peribadi kedua ibu bapanya.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
6 Rabiul Awal 1444 / 3 Oktober 2022 – HARAKAHDAILY 3/10/2022

The post Pemuda budiman pada keluarga appeared first on HarakahDaily.

Read Entire Article