Pemilihan UMNO Simbolik Perpaduan Akar Umbi, Dukung Kerajaan Demi Perkasa Rakyat Dan Negara – Ahmad Zahid

2 days ago 24

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan keyakinan ahli akar umbi parti yang berterusan mendukung parti keramat ini dalam agenda memperkasa rakyat dan negara.

Katanya ini dibuktikan melalui Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 apabila keputusannya membawa simbolik perpaduan dalam kalangan perwakilan termasuk membabitkan Kerajaan Perpaduan.

“… daripada keputusan pemilihan sayap UMNO ditambah pemilihan di peringkat bahagian dan nasional jelas melihatkan bahawa telahan untuk gugat Kerajaan Perpaduan yang ada adalah sesuatu yang boleh dielakkan.

“Manifestasi ini cukup jelas kerana kita lihat walaupun ada usaha-usaha untuk mengugat kerajaan yang ada sekarang ia jelas ditolak perwakilan kerana terdapat 160,000 perwakilan yang telah membuat pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan sebentar tadi selepas Mesyuarat kedua Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn, malam tadi.

Mesyuarat kedua Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga turut dihadiri oleh kepimpinan utama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kepimpinan baharu UMNO diperingkat tertinggi sentiasa rasional dan akan berterusan menyokong kerajaan pada hari ini demi manfaat kepada rakyat.

“Ini terlihat daripada bahawa kesatupaduan pemilihan terhadap kepimpinan UMNO bahawa dokongan daripada akar umbi jelas untuk kepimpinan di peringkat nasional memberikan dokongan sepenuhnya demi keutuhan kerajaan perpaudan yang ada sekarang ini

“Jelas akar umbi mahu kerajaan yang ada di bawah kepimpinan Perdana Menteri ini diperkukuhkan dan kita amat yakin dengan dokongan daripada rakan-rakan dalam Barisan Nasional serta Sabah dan Sarawak bagi mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Maka kombinasi parti yang berada dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan diperkuatkan dengan kepimpinan baharu UMNO,” ujar beliau.

Terdahulu, pemilihan UMNO yang berakhir hari ini menyaksikan Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai muka baharu dipilih sebagai Naib Presiden.

Manakala penyandang jawatan itu yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mempertahankan kedudukannya. – UMNO Online

Read Entire Article