Pelbagai usaha kerajaan bantu rakyat

2 months ago 53

PETALING JAYA: Rakyat kini giat dibantu oleh kerajaan untuk mengharungi hidup melalui pelbagai inisiatif dan antara fokus utama ialah untuk mencipta pekerjaan baharu serta meningkatkan kemahiran mereka.

Usaha kerajaan terangkum dalam inisiatif seperti Jamin Kerja, Penjana HRDF, e-Latih, program Penempatan dan Latihan, HPC HRD Corp dan SemarakNiaga.

Meskipun ekonomi negara telah menunjukkan pemulihan pascaCovid-19 dari segi pertumbuhan yang teguh, namun segala usaha menaik taraf kualiti kehidupan rakyat diteruskan.

Justeru, kerajaan sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat di samping meningkatkan daya saing perniagaan dan mengukuhkan daya tahan negara bagi menghadapi cabaran akan datang.

Maka inisiatif-inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk terus meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang terkesan bukan sahaja akibat Covid-19 malah kelembapan pertumbuhan global.

Misalnya, Jamin Kerja merupakan satu insentif kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari 2022 daripada kalangan perantis, graduan dan golongan rentan seperti OKU, bekas tentera, bekas banduan, warga emas dan penganggur.

Selain itu, skim Penjana HRDF diwujudkan bagi membantu golongan belia dan graduan untuk mendapat pekerjaan, atau menambah dan meningkatkan kemahiran mereka.

E-Latih pula merupakan inisiatif yang dilaksanakan bagi mendorong rakyat Malaysia menerapkan pembelajaran dan pemerolehan pengetahuan sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Dalam pada itu, program Penempatan dan Latihan diwujudkan bagi membantu mereka yang mencari kerja dengan menyediakan latihan kemahiran bertujuan meningkatkan kebolehpasaran dan menjamin penempatan pekerjaan.

HPC HRD Corp pula menggalas tanggungjawab yang lebih besar apabila ia diumumkan sebagai agensi pusat bagi semua program pembangunan modal insan di negara ini.

Sementara itu, Semarak Niaga dengan peruntukan RM40 bilion pula menyediakan pembiayaan kredit mikro tanpa faedah untuk 6 bulan pertama, beserta kemudahan moratorium melalui pelbagai agensi seperti Tekun, Agrobank dan BSN, kepada para peniaga mikro.

JAMIN KERJA ‘SANGAT MUDAH DAN CEPAT’

Demikian reaksi seorang individu terbabit dalam Jamin Kerja, Zulkifli Shah Mohd. Shah dari Cheras, Kuala Lumpur ketika ditanya berhubung keistimewaan inisiatif yang diwujudkan kerajaan.

Katanya, inisiatif berkenaan telah memberinya peluang untuk mendapatkan pekerjaan sebagai Ketua Pegawai Keselamatan di sebuah lokasi di ibu negara setelah berusaha mencari peluang pekerjaan.

“Saya merupakan veteran ATM. Saya mengetahui inisiatif ini daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran. Namun saya tidak sangka permohonannya sangat mudah dan dibantu oleh kakitangan Perkeso. Dalam suasana pandemik, ia sangat membantu saya mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, pasaraya besar Lotus’s Store, telah menggaji lebih kurang 1,600 pekerja melalui inisiatif Jamin Kerja.

Menurut wakil syarikat berkenaan, Alvin Low, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan Perkeso sejak dua tahun lalu dan Jamin Kerja merupakan kesinambungan usaha berkenaan.

“Jika ada apa-apa isu, Perkeso telah membantu untuk menyelesaikannya dengan cepat. Terima kasih kerajaan atas usaha Jamin kerja,” kata Low.

PENJANA HRDF

Bagi wanita kurang upaya, Tan Giok Kian, Covid-19 yang menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan 1,001 hikmah dan pengajaran kepada dirinya untuk mencuba peluang baharu.

“Walaupun OKU, saya tidak boleh duduk diam-diam di rumah. Sebelum PKP saya ajar renang, tapi masalah Covid-19 menyekat saya. Jadi saya mesti cari peluang lain, dan telah memohon latihan solek di HRDF.

“Daripada tiada asas, selepas menyertainya, saya ada ilmu persolekan,” kata wanita itu.

E-LATIH

Menurut seorang wanita cekal, Solehan Amin, 33, dari Rawang, Selangor, beliau mengambil keputusan menyertai e-Latih kerana mahu memperbaiki diri dan meningkatkan kemahiran agar sentiasa relevan.

Beliau percaya peningkatan kemahiran amat penting lebih-lebih lagi pada zaman ini apabila teknologi sentiasa berubah dan ekonomi terjejas akibat perubahan yang melanda dunia.

“Ini peluang dan platform untuk mencuba dan mempelajari lebih lanjut, bagaimana kita boleh memajukan diri kita. Saya berjaya menyakinkan ahli keluarga untuk meningkatkan kemahiran di bawah program e-Latih,” katanya.

PENEMPATAN DAN LATIHAN HPC HRC CORP.

Bagi seorang pakar teknologi kecerdasan pembuatan, Scotrraaj Gopal, skim penempatan dan latihan ini menyebabkannya berjaya melihat hala tuju masa depan dengan lebih jelas dan bermakna.

Katanya, bantuan menerusi program berkenaan adalah sangat berguna bagi dirinya kerana inisiatif itu dapat memberi nilai tambahan dan ia dapat meningkatkan kemahiran insaniah sebagai persediaan menceburi bidang yang diminati.

“Proses pembelajaran kini telah berubah sepenuhnya, dan dilaksanakan secara online. Pada mulanya, saya risau kerana tidak yakin dapat menamatkan pengajian saya dalam tempoh yang ditetapkan.

“Namun melalui skim ini, saya berjaya mendapat sijil pengiktirafan kejuruteraan yang membuka jalan untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

SEMARAKNIAGA MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI

Demikian reaksi Zailani Zakaria daripada ZL Empire Sdn Bhd apabila diminta pendapatnya mengenai skim SemarakNiaga yang telah memberi pelbagai manfaat kepada syarikat yang terkesan dengan PKP.

“Syarikat ini diwujudkan pada 2016 namun disebabkan PKP, saya sukar menjalankan perniagaan. Akhirnya memang sangat terkesan. Jadi bagi saya, orang ramai jangan malu dan segan jika memerlukan bantuan untuk jangka pendek atau panjang daripada kerajaan,” katanya.

Situasi yang sama melanda Nik Zaiton Nik Abdullah, daripada BorakOmbak Marina Putrajaya yang terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman serta ruang acara.
Katanya, sepanjang dua tahun itu, perniagaan mereka terjejas teruk, dan mereka amat memerlukan bantuan daripada institusi kewangan dan kerajaan.

“Alhamdulillah kami terima moratorium dan bantuan pihak bank. Ia mudah dan ringkas. Disebabkan kami menjaga prestasi kredit kami sebelum pandemik, jadi bank percaya kebolehan kami dan meluluskan permohonan kami.” katanya.

Dalam pada itu, S. Mani Vanna daripada Lotus Cable Industries Sdn. Bhd., pengeluar abah-abah pendawaian lebih 30 tahun, juga berpendapat permohonan dana SRF mudah dan diluluskan dengan cepat, iaitu dalam tempoh tiga minggu sahaja.

“Saya bersyukur kerana kerajaan telah menyediakan beberapa kemudahan yang sangat membantu perniagaan seperti kami untuk pulih seperti sedia kala,” katanya. – UTUSAN

The post Pelbagai usaha kerajaan bantu rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article