Pekerja rangkaian kereta api Britain lancar mogok

2 months ago 51
Tindakan mogok 24 jam oleh lebih 40,000 anggota kesatuan RMT dan TSSA memaksa kira-kira separuh daripada rangkaian kereta api Britain ditutup. (FOTO Reuters)

LONDON: Sistem rangkaian kereta api Britain berdepan gangguan besar sekali lagi pada hari Rabu (27 Julai) apabila kakitangannya membuat tindakan mogok susulan pertikaian mengenai isu gaji.

Tindakan mogok 24 jam oleh lebih 40,000 anggota kesatuan RMT dan TSSA memaksa kira-kira separuh daripada rangkaian kereta api Britain ditutup, dengan syarikat kereta api mengendalikan jadual waktu yang jauh berkurangan dan beberapa bahagian negara itu tidak mempunyai perkhidmatan kereta api langsung, lapor Reuters

Network Rail menggesa penumpang, termasuk yang bercadang untuk bercuti sempena musim panas, dan peminat sukan dalam perjalanan ke Sukan Komanwel di Birmingham yang bermula pada Khamis (28 Julai), untuk hanya melakukan perjalanan jika perlu.

Terdahulu, tindakan mogok pada bulan lalu telah menyebabkan rangkaian kereta api Britain hampir terhenti selama tiga hari; dan pada minggu lalu, beberapa laluan utama yang melintasi negara itu terpaksa ditutup apabila suhu rekod merosakkan landasan.

“Kami lebih berazam berbanding sebelum ini untuk mendapatkan kenaikan gaji yang berpatutan, jaminan pekerjaan dan keadaan kerja yang baik,” kata Setiausaha Agung RMT, Mick Lynch dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Network Rail tidak membuat sebarang penambahbaikan pada  tawaran gaji mereka sebelum ini.

“Network Rail langsung  tidak menawarkan apa-apa yang baharu kepada kami,” tegasnya.

Kesatuan RMT pula berkata ia telah menerima tawaran kenaikan 4 peratus, diikuti dengan kemungkinan 4 peratus pada tahun berikutnya bergantung kepada kakitangan yang menerima perubahan kepada kontrak mereka.

Senario Inflasi di Britain dilaporkan berada pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun dan ia dijangka mencapai angka  dua digit menjelang akhir tahun ini, didorong oleh lonjakan harga bahan api dan makanan.

Inflasi yang melambung tinggi itu  telah mencetuskan krisis kos sara hidup terburuk di Britain sejak rekod bermula pada 1950-an, memburukkan lagi ketegangan buruh merentas sektor termasuk perkhidmatan pos, kesihatan, sekolah, lapangan terbang dan badan kehakiman.

Ia juga menjadi titik pertelingkahan dalam perlumbaan untuk menggantikan Boris Johnson sebagai perdana menteri, dengan dua calon, Liz Truss dan Rishi Sunak, berikrar untuk membanteras tindakan mogok berkenaan.

Kerajaan Britain pada minggu lalu mengubah undang-undang untuk memudahkan perniagaan menggunakan kakitangan sementara bagi meminimumkan kesan tindakan mogok.

Perkhidmatan feri ke Cowes di Isle of Wight juga terganggu pada Rabu susulan tindakan mogok rangkaian kereta api terbaharu yang dijangka akan diadakan padai Sabtu (30 Julai) ini. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

Read Entire Article