[PARLIMEN] Terdapat cabaran untuk beri bekalan air bersih

1 year ago 153

PETALING JAYA: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengakui terdapat cabaran yang perlu dilalui bagi memastikan bekalan air di kawasan luar bandar dapat disalurkan secara konsisten.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan berkaitan projek bekalan air alternatif adalah termasuk di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar KPLB dibangkitkan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) di Dewan Rakyat.

“Projek bekalan air alternatif adalah termasuk di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar KPLB. Program ini meliputi skop penyediaan bekalan air daripada sumber alternatif seperti air telaga, air tandak, air bukit dan air sungai kepada rumah penduduk luar bandar yang belum menerima bekalan air dan tidak ekonomik bagi pemasangan paip retikulasi.

“Namun, cabaran bagi projek bekalan air alternatif ini adalah dalam memastikan sumber air berkenaan bersih, cukup dan konsisten serta komitmen penyelenggaraan projek oleh komuniti setempat atau pihak berkuasa tempatan atau negeri bagi membolehkan bekalan dinikmati tanpa gangguan untuk jangka masa panjang.

“Untuk makluman Yang Berhormat, projek Bekalan Air Alternatif di negeri Kedah pada tahun 2021 telah diperuntukkan sebanyak RM4 juta oleh kementerian ini,” jelasnya.

Mahdzir memakluman,  projek-projek itu adalah dalam pelaksanaan dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Kesemua permohonan baharu projek bekalan air luar bandar yang diterima kementerian ini telah diperhalusi di peringkat negeri oleh Pihak Berkuasa Air Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk disenaraikan di dalam senarai keutamaan negeri sebelum dipanjangkan kepada kementerian untuk pertimbangan selanjutnya.

“Bagaimanapun, kelulusan projek-projek ini adalah tertakluk kepada keupayaan kewangan semasa kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post [PARLIMEN] Terdapat cabaran untuk beri bekalan air bersih appeared first on Utusan Digital.

Read Entire Article