[PARLIMEN] Isu Kampung Baru panaskan sidang Dewan Rakyat

1 year ago 149

PETALING JAYA: Persidangan Dewan Rakyat menjadi panas semasa sesi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN) dicelah oleh Khalid Abd. Samad (Amanah- Shah Alam) berkaitan isu tanah di Kampung Baru.

Khalid menyentuh isu pembangunan Kampung Baru berhubung pelaksanaan pembelian keseluruhan tanah di situ yang melibatkan peruntukan sebanyak RM7bilion.

Menjawab soalan itu, Ahli Parlimen Arau berkenaan berkata, peruntukan RM7 bilion tersebut tidak pernah dimohon dan diluluskan oleh kerajaan sebagai sumber kewangan untuk pembelian tersebut.

“Maklumat kos ini telah dibentangkan melalui Nota Jemaah Menteri pada 8 September 2020 dan didapati pembelian tanah ini melibatkan kos  tinggi dan tiada model pembiayaan serta tiada sumber dana diperuntukkan bagi pembelian tanah tersebut,” katanya.

KHALID ABDUL SAMAD

Bagaimanapun, jawapan itu dicelah oleh Khalid yang mana beliau mengatakan isu berkaitan Kampung Baru bukanlah semata-mata berkaitan wang ringgit.

“Hal ini bukan pasal duit kerana duit boleh diperoleh daripada banyak sumber kewangan. Apa yang penting di sini adalah persetujuan untuk menjual.

“Itulah yang sedang diusahakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan  pada ketika itu (pentadbiran Pakatan Harapan) tetapi dihentikan apabila kami dijatuhkan dan kuasa dirampas pada Februari 2020 sedangkan target kita, pada Jun 2020, kita akan dapat 80 peratus persetujuan.

“Selepas kami (Pakatan Harapan) jatuh, tiada lagi usaha untuk mendapatkan persetujuan,” katanya.

Shahidan kemudian menegaskan, setiap keputusan haruslah mendapat persetujuan jemaah menteri kerana itu adalah lebih penting sebelum dana RM7 bilion diluluskan.

Menyambung sesi menjawab soalan itu, Shahidan berkata pendekatan pelaksanaan tawaran yang dibuat pada ketika itu adalah tidak berlandaskan kepada mana-mana sumber peruntukan daripada kerajaan.

Selain itu, menurutnya, cadangan Pelan Konsep Pembangunan Kampung Baru 2019 tidak memperincikan mekanisme dan kaedah bagi pelaksanaan pembangunan dan pembelian tanah.

“(Bekas) Menteri Wilayah Persekutuan (YB Shah Alam) pada sesi Town Hall bertarikh 21 September 2019 telah membuat tawaran pembelian tanah kepada pemilik tanah Kampung Baru dengan nilai RM850 sekaki persegi.

“Anggaran nilai ini berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 10 Mei 2019 dengan nilaian yg dikemukakan adalah RM650 sekaki persegi hingga RM850 sekaki persegi.

“Tindakan mantan Menteri YB Shah Alam membuat tawaran tanpa mendapatkan sumber peruntukan bagi tujuan tersebut adalah kurang wajar dan kurang tepat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

The post [PARLIMEN] Isu Kampung Baru panaskan sidang Dewan Rakyat appeared first on Utusan Digital.

Read Entire Article