Parlimen bubar selepas siap kajian sikap oleh Wanita BN

1 month ago 34

KUALA LUMPUR: Pembubaran Parlimen akan dilakukan sebaik sahaja Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperoleh laporan kajian sikap yang dilaksanakan Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO mahu seluruh Wanita BN melaksanakan kajian sikap itu secara menyeluruh untuk mendapatkan data yang lengkap mengenai pihak lawan pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, data itu akan menjadi rujukan BN kerana beliau tidak mahu masuk medan perang tanpa strategi yang tersusun dan rapi.

“Saya sebagai Perdana Menteri menerima kajian daripada pelbagai pihak, tetapi saya hanya akan berpegang kepada laporan daripada Wanita BN. 

“Saya bukan tak percaya laporan yang lain, tetapi Wanita BN berada di mana-mana. Contohnya Wanita UMNO di setiap kampung, kalau di Felda satu blok dua tiga wanita jaga, maka, sebab itu saya anggap laporan wanita adalah tepat.

“Jadi, untuk saya bubarkan Parlimen, saya mahu dapatkan laporan lengkap daripada Wanita, selepas dapat laporan lengkap menunjukkan kita boleh menang, baru saya bubarkan Parlimen.

“Yang penting kita masuk pilihan raya umum kita mesti menang, bukan bubar cepat untuk puaskan hati mana-mana pihak, tetapi saya bubarkan apabila mendapat laporan daripada Wanita,” katanya pada Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau mengharapkan Wanita BN dapat membuat kajian yang tepat, justeru, mereka perlu memikirkan pelbagai kaedah untuk memastikan risikan dan kajian dapat digerakkan.

“Pilihan raya umum kali ini bukan mudah dan kita tidak boleh mengharapkan sokongan daripada ahli parti semata-mata.

“Ahli parti BN mungkin setakat 30 peratus, yang lain mungkin pengundi atas pagar atau hitam, dan kalau hanya mengharapkan pengundi daripada ahli parti semata-mata, maka kita tidak akan menang.

“Oleh itu, jangan rasa seronok buat kajian sikap kepada ahli parti sahaja. Ramai yang seronok dulu kata kita dijamin menang, tetapi yang beri jaminan menang itu adalah penyokong kita,” katanya. –UTUSAN ONLINE

The post Parlimen bubar selepas siap kajian sikap oleh Wanita BN appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article