Palestin tuntut perlindungan terhadap serangan ‘tanpa provokasi’ Israel

1 month ago 47
Asap dan api menjulang di sekitar lokasi serangan udara Israel ke atas Rafah, di selatan Gaza pada 7 Ogos 2022. (FOTO Anadolu Agensi)

Susunan ZULHAIDI MANSOR

GAZA: Palestin menyeru masyarakat antarabangsa agar memberikan perlindungan susulan serangan Israel ke atas Gaza baru-baru ini  yang menyebabkan 46 orang rakyat Palestin terbunuh.

Wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada Isnin (8 Ogos) bahawa serangan kejam zionis Israel itu adalah pencerobohan yang tidak diprovokasi dan tidak wajar, lapor Anadolu Agency

Menurut laporan itu, rayuan itu dibuat selepas gencatan senjata yang ditanggung oleh Mesir untuk menamatkan tiga hari serangan udara Israel ke atas Gaza dan serangan balas roket.

Sehubungan itu, PBB mengalu-alukan gencatan senjata itu, tetapi memberi amaran bahawa ia adalah agak  rapuh.

Penyelaras Khas PBB untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Tor Wennesland berkata, sebarang penyambungan semula permusuhan hanya akan membawa kesan buruk kepada kedua-dua rakyat Palestin dan zionis Israel, yang akan menimbulkan kesukaran bagi sebarang kemajuan dari segi politik. 

Sementara Mansour dalam kenyataannya berkata bahawa alasan sebenar hampir tidak terselindung, kerana pilihan raya Israel yang akan datang dan terdesak untuk merayu dan menenangkan pelampau di negara zionis itu.

“Kami perlukan perlindungan. Orang awam kita berhak mendapat perlindungan. Anak-anak kita berhak mendapat perlindungan.”

“Adakah anda tahu bagaimana rasanya menjadi tidak berdaya? Tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada anak anda? Untuk bertahan dalam satu peperangan dan menunggu serangan seterusnya?” tegas Mansour.

Beliau berkata usaha untuk mencapai gencatan senjata membantu mencegah tercetusnya perang berskala penuh dan membolehkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan untuk penduduk di Gaza.

“Kami juga mengalu-alukan pembukaan semula titik persimpangan Erez dan Kerem Shalom oleh pihak berkuasa Israel, yang membenarkan sejumlah 23 trak bahan api memasuki Gaza, membolehkan loji kuasa enklaf itu beroperasi semula,” katanya.

Sementara TRT World melaporkan bahawa Duta Besar Amerika Syarikat ke PBB, Linda Thomas-Greenfield menyeru kedua-dua pihak untuk melaksanakan sepenuhnya gencatan senjata dan berkata AS sedang berusaha serius untuk mencegah keganasan selanjutnya.

Semasa peningkatan keganasan rejim zionis Israel itu, 46 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 15 kanak-kanak, dan lebih 360 cedera.

Dalam pada itu, Tor Wennesland dalam kenyataan berkata, beratus-ratus rumah rosak atau musnah, dan 70 warga Israel cedera akibat serangan roket kumpulan Jihad Islam Palestin.

“Usaha untuk mencapai gencatan senjata membantu mencegah tercetusnya perang berskala penuh dan membolehkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan untuk penduduk di Gaza,” ujar Wennesland. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

Read Entire Article