Operasi ‘Breaking Down’ pembantaian Gaza: Kita wajib peduli

1 month ago 56

Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Selepas tiga hari kota Gaza dibedil oleh regim zionis Israel, sejak jumaat (5 Ogos) lepas hingga Ahad, 7 Ogos dengan angka kematian seramai 46 orang, manakala 370 yelah mengalami kecederaan.

Menurut Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Gaza, Dr Abu Ayesh an Najjar, ramai mangsa mengalami kecederaan yang serius, kerosakan pada bangunan kerajaan serta rumah kediaman.  

Dalam kalangan yang syahid pula, terdapat 16 orang kanak-kanak serta empat Muslimah yang turut terkorban. Seorang komander Jihad Islam juga telah berjaya dibunuh dalam satu serangan udara, termasuk satu menara kawalan pasukan kebangkitan juga telah dimusnahkan.

Pelbagai tempat dibedil regim zionis, manakala Jabalieh paling teruk dihentam dengan serangan udara sang pengecut, melanggar Protokol Majlis Keselamatan PBB dan Konvensyen Geneva. 

Saat pelbagai kumpulan aplikasi wassap menggebu  dengan isu ‘ 2B’ , pembantaian skala besar dihadapkan kepada umat Islam Palestin yang berjuang untuk membebaskan al Quds. 

Gaza adalah penjara terbesar di atas dunia ini, dengan kepadatan penduduk seramai 2.3 juta jiwa, tiada ruang selamat untuk berlindung jika serangga udara dihalakan kepada batas jalur yang sempit ini. 

Tembok tinggi simen, juga jalur pantai mengepung wilayah yang menjadi kubu HAMAS ini, apatah lagi nasib umat Islam Palestin ini yang berjiran dengan Mesir yang tolol dan sekutu kuat Amerika Syarikat serta Israel. 

Bedilan udara zionis meratah jasad manusia yang tak berdosa serta melanggar konvensyen Geneva. Al Qassam, sayap tentera HAMAS dan pasukan Jihad Islam juga melakukan tindak balas serta merta termasuk berjaya menyerang bandar dan wilayah Askeelon di sebelah Israel.

Al Qassam dan Jihad Islam sedang membalas serangan negara pengganas yang didukungoleh Ahzab moden, langit Gaza seperti pesta pora mercun gergasi dengan bunyi ledakan kuat  yang menghancurkan bangunan serta merabik daging manusia. 

Pasukan pejuang Palestin sedang berusaha agar dapat melumpuhkan terus dua buah lapangan terbang antarabangsa Israel dan menjadikan Tel Aviv serta bandar-bandar lain marak disambar api percikan roket. Inilah perlawanan dan amukan Al Qassam tak mampu meredam rasa marah umat Islam sedunia atas kebiadaban Israel terhadap tanah Gaza serta serangan kepada orang awam yang tak berdosa.

Tiada yang mampu mengharmonikan jiwa bangsat mereka yang menganggap umat Islam sebagai goyim (binatang) yang wajib dibunuh.

Pertembungan antara Islam dengan kelompok Yahudi adalah melalui denai sejarah yang panjang. Di zaman ar Rasul SAW, kelompok Yahudi Bani An Nadhir, Bani Qainuqa’, Bani Quraizah telah mengkhianati baginda yang mulia, sehingga kemuncaknya berlaku peperangan Khaibar pada bulan Muharram tahun tujuh hijrah.

Di zaman moden kelompok Yahudi telah menubuhkan gerakan zionist pada tahun 1897 di Bassel, di mana 300 orang sarjana Yahudi yang dipimpin oleh Teodor Hezl telah menggagaskan matlamat dan nuansa kelompok Yahudi yang bercita-cita menguasai dunia. Matlamat mereka mewujudkan ‘The greater Israel’, mereka ingin menjadikan Palestin sebagai pusat pemerintahan dan menguasai Baitul Maqdis.

Cita-cita ini didukung oleh Empayar Pax Britanica, British meluncurkan Perjanjian  Balfour dan seterusnya Perjanjian Porthmouth. 

Khilafah Islam yang terakhir, khilafah Uthmaniah telah menjaga setiap inci tanah suci umat Islam ini dengan airmata dan darah. Peperangan antara Tentera British yang dipimpin oleh Sir Lord Allenby dengan tentera Islam Khilafah Uthmaniah telah menyaksikan kemenangan empayar British pada tahun 1917.

Cita-cita zionis  semakin terbuka dengan kemenangan Sekutu mereka, British dalam peperangan merebut tanah Palestin. Impian ini semakin terbentang luas untuk digapai apabila berlakunya kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada Mac 1924. 

Gerakan Islam menjadi benteng paling hadapan menentang kewujudan negara Israel yang diimpikan oleh zionis.

Sheikh Izzudin Al Qassam terbujur syahid pada tahun 1935 dalam perlawanan menentang British yang menjajah Palestin. 

Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al Banna telah menggerakkan kempen besar-besaran untuk menyelamatkan Palestin dan Baitul Maqdis. 

Kemuncaknya perang di Palestin pada tahun 1948 menyaksikan lebih 10 000 anggota-anggota Ikhwanul Muslimin bertempur di Tanah Suci ketiga umat Islam ini, sehingga mereka dikhianati oleh pemerintah Mesir (dipanggil pulang ke Mesir dan dipenjarakan).

Umat Islam Tanah Melayu dalam sejarahnya tidak menyepikan diri dalam isu bumi Israk ini. Pada tahun 1935, Dr Burhanuddin al Helmy telah mendekam di penjara Palestin akibat menyertai bantahan terhadap British yang ingin mewujudkan sebuah negara haram kepada orang Yahudi di tanah Palestin. 

Almarhum sekali lagi dipenjarakan oleh British di Singapura pada tahun 1937 kerana memprotes sikap British dalam isu Palestin dalam akhbar ‘Taman Bahagia’.

Hizbul Muslimin, organisasi massa yang bertujuan menentang British dan menegakkan pemerintahan Islam di Tanah Melayu juga dalam himpunan mereka di Maahad Ehya as Sharif Gunung Semanggol pada Mac 1948 telah mengemukakan usul menyelamatkan Palestin. Jawatankuasa menyelamatkan Palestin dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al Helmy, menyiapkan memo bantahan kepada PBB dan juga menjalankan kempen menyelamatkan Baitul Maqdis.

PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, sentiasa memberikan kesedaran kepada rakyat untuk peka akan nasib Palestin. Dr Burhanuddin al Helmi, sebagai ideologi PAS dalam tahun 50an dan 60an tidak pernah menyepikan isu Baitul Maqdis. 

Beliau menyebut dengan jelas dalam ucapan Dasar Yang DiPertua PAS, bagaimana kewujudan Israel adalah duri dalam daging kepada umat Islam di Asia Barat, bahkan kepada umat Islam di seluruh belahan dunia.

Begitulah sejarah yang terakam dalam kepimpinan PAS, merasa berbahagi kepedihan dengan rakyat Palestin yang ditindas.

PAS menghantar pelbagai misi bantuan kepada umat Islam Palestin melalui jaringan sivilnya,  mengadakan pelbagai seminar, wacana, diskusi intelektual, forum bagi menyelamatkan Palestin serta menimbulkan kesedaran ummah.

HAMAS menjadi teman baik PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmad Yasin, wakil Palestin diundang ke Ijtimak Alami yang diadakan di Rusila pada tahun 1988 serta pelbagai program besar PAS yang lain.  

Dalam Parlimen, ahli-ahli legislatif PAS mengemukakan usul berkaitan nasib Palestin semenjak dekad 1950an lagi.

Krisis yang berlaku di Asia Barat adalah usaha jahat Amerika dan Zionis untuk melakarkan peta berdarah baru bagi menggantikan Perjanjian Sykes Picot 1916. 

Maka, ini sebenarnya bagi menjamin keutuhan dan keselamatan negara haram Israel bagi menguasai sepenuhnya sumber tenaga ‘emas hitam’, termasuk menguasai laluan strategik perairan dan juga udara, Obses dengan pelaburan dan monopoli pasaran Asia Barat.

Seluruh kekuatan jentera parti Islam sewajibnya dikerah untuk menggalang dana, melantunkan munajat serta doa, menggerakkan kempen kesedaran peduli Gaza serta membantu umat Islam Palestin yang sedang berkubang darah mempertahankan kiblat pertama umat Islam.

Penduduk Gaza membayar harga yang mahal, kerana merekalah benteng kepada keselamatan masjid al Aqsa. Dek kerana keberanian mereka regim zionis tidak sewenangnya berani meruntuhkan tempat Israk Nabi SAW. 

Kita mampu sama-sama membantu mereka dengan menderma, mengadakan bantahan awam, memboikot produk jaringan Zionis, menebarkan kepedulian dan terus berdoa tanpa bosan agar Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam Palestin. Takbir!.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Anggota Misi Bantuan Tanpa Sempadan)

Read Entire Article