Oktoberfest 2022 dianjur secara tertutup di Maghribi

1 month ago 43
Sebuah masjid yang terdapat di Bouskoura, Casablanca, Maghribi. (FOTO Tripadvisor)

Susunan YUSMAN AWANG

CASABLANCA: Kira-kira 300 tetamu dijangka mengunjungi Casablanca, Maghribi untuk meraikan pesta arak Oktoberfest 2022 yang diadakan secara tertutup pada 28 Oktober depan, ketika pihak konservatif kekal lantang membantah penganjuran festival bir tradisi Bavaria, Jerman berkenaan buat pertama kali di negara Islam itu.

Walaupun khabar angin sebelum ini mengatakan bahawa Dewan Perindustrian dan Perdagangan Jerman (GCCI) di Maghribi bakal membatalkan Oktoberfest 2022 yang dirancang itu selepas timbul bantahan orang ramai, ia sebaliknya diumumkan akan diadakan di tempat persendirian di Bouskoura, sebuah bandar yang terletak kira-kira dua puluh kilometer dari Casablanca, lapor The Maghreb Times.


Terdahulu, menurut laporan Morocco World News, GCCI telah menghentikan promosi besar-besaran festival tersebut di Maghribi di tengah-tengah kemarahan orang ramai yang menyelar entiti atau budaya asing itu sebagai suatu acara ‘keji’ dan ‘tidak boleh diterima’ di negara Islam Maghribi.

Oktoberfest yang dikenali dalam kalangan warga Perancis sebagai ‘pesta bir’, diadakan setiap tahun antara pertengahan September dan awal Oktober di Munich, Jerman sejak tahun 1810 kecuali pada 2020 dan 2020 akibat pandemik Covid-19. 

Ia adalah festival popular dengan pesta hidangan tradisional Bavaria, konsert muzik, dan, terutamanya, hidangan bir berskala besar.

Menurut laporan The Maghreb Times lagi, Forum Penyatuan Identiti Maghribi telah melancarkan petisyen pada 1 Ogos 2022 yang sehingga Isnin (8 Ogos) berjaya mengumpul  hampir 23,000 tandatangan daripada sasaran 25,000 tandatangan.

“Kami menganggap inisiatif ini (penganjuran Oktoberfest 2022) sebagai satu tindakan yang tidak baik yang mengejutkan undang-undang Maghribi, agama Islam, dan tradisi Maghribi”, ujar kenyataan dalam petisyen berkenaan yang menggesa pengharaman pesta bir di Maghribi.

Pempetisyen menambah bahawa festival itu juga bakal menyajikan hidangan tradisional Jerman, kebanyakannya berasaskan daging babi.

“Kami melancarkan petisyen ini untuk menyampaikan mesej  kepada pihak berkuasa Maghribi supaya mengharamkan Oktoberfest 2022 kerana ia bercanggah dengan diplomasi bijak negara yang mesti menghormati kekhususan negara di mana institusi mereka aktif,” ujar kesimpulan  menyimpulkan petisyen berkenaan.

Sementara tambah laporan media Maghribi, Le360 yang memetik sumber dalaman dari GCCI, sebagai  berkata festival itu akan menyajikan makanan halal bersama minuman beralkohol dan bukan alkohol. 

“Akan ada lebih daripada sekadar bir. Memang benar bahawa nama Oktoberfest boleh mengelirukan, tetapi sekali lagi ia bukan sekadar  festival bir. 

“Acara itu  bakal diadakan secara tertutup (di Maghribi), dan kami tidak menjangkakan ia disiarkan di rangkaian media sosial,” ujar jurucakap GCCI.

GCCI mendakwa bahawa festival berkenaan adalah untuk mempromosikan pertukaran antara ahli dewan dan rakan kongsinya serta memperkenalkan warga  Maghribi kepada aspek budaya Jerman. 

Berasal dari Munich, Oktoberfest ialah acara tahunan yang telah menarik enam juta pencinta bir Jerman dan asing sejak beberapa tahun lalu.

Merujuk kepada lipatan sejarah, Oktoberfest berasal daripada majlis perkahwinan Raja Louis I dan Puteri Therese von Sachsen-Hildburghausen pada Oktober 1810, yang mana perayaan rakyat selama dua minggu itu akan disambut pada tahun ini dari 17 September hingga 1 Oktober serentak di Munich dan Amerika Syarikat.

Walaupun pada asalnya meraikan perkahwinan diraja, perayaan itu beransur-ansur berubah menjadi perayaan makanan dan minuman arak yang meluas untuk orang ramai menjelang akhir abad ke-20. – HARAKAHDAILY 9/8/2022

Read Entire Article