Nauru, negara penduduk gemuk paling ramai di dunia 

2 days ago 13

LONDON: Satu data mendedahkan Pulau Pasifik Nauru dinamakan sebagai negara yang mempunyai jumlah penduduk obesiti paling ramai di dunia.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Our World in Data, pulau Pasifik Nauru mendahului senarai 10 negara itu, dengan 88.5 peratus rakyatnya sama ada mempunyai berat badan berlebihan atau mengalami obesiti.  

Lapor Daily Mail, hampir sembilan daripada 10 penduduk yang menetap di negara itu mempunyai berat badan berlebihan.

Kesemua 10 negara yang mencatatkan jumlah penduduk obesiti paling tinggi dunia direkodkan di Pulau Pasifik. 

Palau, sebuah negara kepulauan memiliki kira-kira 18,000 penduduk, menduduki tempat kedua dalam senarai itu dengan 85.1 peratus rakyatnya berlebihan berat badan atau obes.

Ia diikuti dengan Kepulauan Cook menduduki tempat ketiga dengan mencatatkan 84.7 peratus, Kepulauan Marshall (83.5 peratus) dan Tuvalu (81.9 peratus).

Dalam pada itu, Vietnam pula dilaporkan mempunyai bilangan penduduk yang kurus paling tinggi di dunia.

Satu kajian terbaharu mendapati hanya 18.3 peratus penduduk negara Asia Tenggara itu mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti. 

Data itu diperoleh menerusi kompilasi angka membabitkan 195 negara di seluruh dunia yang direkodkan sejak 2016.

Data menunjukkan lebih satu pertiga atau 39 peratus orang dewasa di dunia berdepan masalah berat badan berlebihan atau mengalami obesiti.

Statistik itu dikeluarkan oleh NCD Risk Factor Collaboration yang mengkaji trend membabitkan 128.9 juta orang di seluruh dunia.

Ia mengkaji data mengenai jisim badan khususnya bilangan individu yang kurang berat badan, berlebihan berat badan atau obes.

The post Nauru, negara penduduk gemuk paling ramai di dunia  appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article