Lokasi batu granit tular milik persendirian, ditutup kepada umum

1 month ago 28

IPOH: Kawasan batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka di Kampar yang gambarnya tular dalam media sosial baru-baru ini disahkan milik persendirian dan lokasi itu tidak dibuka kepada umum.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, berikutan gambar lokasi batu granit itu tular dalam media sosial baru-baru ini, pemilik tanah di situ terpaksa menutup tempat tersebut kepada orang awam atas faktor keselamatan. 

“Jika berlaku apa-apa, ia adalah tanggungjawab pemilik kerana lokasi batu granit itu berada di atas tanah persendirian.

“Tempat ini belum dibuka kepada umum, bersabar dahulu kerana ia masih dalam proses permulaan rundingan dan bahaya jika pergi ke tempat itu tanpa menitikberatkan faktor keselamatan.

“Saya menasihatkan mereka yang berhasrat untuk ke lokasi batu granit itu bersabar menunggu pengumuman sama ada tempat itu selamat untuk dilawati dan sesuai untuk dikunjungi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutup Kursus Asas dan Lanjutan Geoguide GeoPark Lembah Kinta di sini hari ini. 

Menurutnya,  kerajaan negeri sedia mengkaji kawasan batu granit di Kampar itu  sebagai satu lagi geotapak di Perak.

Katanya, untuk itu, pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah menghubungi pemilik tanah tersebut. 

“Kerajaan negeri akan meminta Taman Negeri bersama Jabatan Mineral dan Galian (JMG) untuk melakukan tinjauan awal di lokasi batu granit yang gambarnya tular dalam media sosial baru-baru ini.  Jika betul, kita boleh angkat sebagai geotapak yang baharu,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kawasan itu merupakan tanah persendirian, rundingan boleh diadakan untuk kawasan itu memberi manfaat kepada pemilik tanah dan juga kerajaan negeri.

“Namun, keputusan tertakluk kepada kesanggupan pemilik tanah di kawasan itu untuk membangunkan ia sebagai geotapak,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu mural juruterbang Amerika Syarikat, Amelia Earhart yang melakukan penerbangan solo wanita pertama mengelilingi dunia merentasi Lautan Atlantik pada 1937 dan dikatakan tidak singgah di Taiping, Nolee Ashilin berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Pembetulan akan dibuat jika benar terdapat percanggahan fakta juruterbang itu sememangnya tidak pernah mendarat di Lapangan Terbang Tekah, Taiping,” katanya. 

Menurut Nolee Ashilin, pihak berkuasa tempatan membuat semakan dengan persatuan sejarah di Taiping yang memulakan aktiviti mural tersebut.  – UTUSAN

The post Lokasi batu granit tular milik persendirian, ditutup kepada umum appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article