Livestream Muzik Terpanjang di YouTube Diserang Syarikat Produksi Malaysia

2 months ago 88

Kecoh juga dalam komuniti muzik global apabila sebuah video Livestream muzik di YouTube tiba-tiba hilang. Video yang popular dengan nama Lofi Girl itu sudah bersiaran selama lebih daripada 2 tahun lamanya dan dinobatkan sebagai video langsung yang paling lama bersiaran di YouTube setakat ini.

Lofi Girl adalah sebuah saluran muzik di YouTube yang menyiarkan lagu-lagu lofi. Lagu-lagu yang dimainkan di saluran ini sudahpun dibayar royaltinya kepada pemilik lagu oleh pemilik saluran. Lebih daripada itu, gambar visual di setiap video mereka juga dimiliki dan dibayar oleh pemilik saluran secara sah. Video mereka juga sangat popular dengan lebih daripada 20-30 ribu pendengar siaran langsung mereka dalam satu-satu masa.

FMC Music, sebuah syarikat produksi Malaysia tiba-tiba membuat penuntutan hak cipta terhadap video Lofi Girl. Atas tuntutan ini, sistem automatik YouTube kemudiannya menurunkan video Lofi Girl WALAUPUN Lofi Girl memiliki hak penuh ke atas video dan muzik yang dimainkan di saluran mereka. Ini telah menimbulkan banyak reaksi dan respon negatif daripada pencipta kandungan di YouTube amnya, dan juga peminat Lofi Girl khususnya.

Kejadian ini juga telah menyumbang kepada pelbagai meme dan bebenang di Twitter dan Reddit. Malaysia akhirnya menjadi perhatian dalam komuniti Lofi.

YouTube sememangnya sudah lama bermasalah dalam isu hakcipta di mana pihak yang tidak berkaitan boleh sewenang-wenangnya membuat tuntutan hakcipta kepada pencipta kandungan. Sistem automatik YouTube akan secara automatik merampas kesemua aset dan pendapatan daripada pencipta kandungan dan diberikan kepada pihak yang menuntut walaupun tuntutan itu selalunya tidak berasas.

Terbaru, Raja YouTube PewDiePie juga menerima nasib yang sama di mana video muziknya dituntut hakcipta oleh sebuah syarikat yang tidak dikenali. Video YouTube PewDiePie tidak pernah didaftarkan dengan mana-mana produksi dan diletakkan sebagai muzik bebas royalti. Ironinya, pihak yang menuntut video PewDiePie itu membuat tuntutan “atas pihak PewDiePie” dengan PewDiePie sendiri.

Dalam kes Lofi Girl pula, Twitter rasmi YouTube telah memberikan maklum balas bahawa tuntutan oleh FMC itu bersifat “abusive” dan jika dibuktikan bersalah, saluran YouTube FMC Music akan dibatalkan. Semakan terkini bagaimanapun mengesahkan saluran YouTube FMC Music masih lagi ada di YouTube.

Anda boleh mendengar lagu-lagu lofi yang chill dan menenangkan di saluran Lofi Girl. Video Lofi Girl juga telah dinaikkan semula di YouTube.

 

 

 

 

 

 

Read Entire Article