Letupan bom di Selatan Thailand: Seorang maut, 30 cedera

1 week ago 23
Suasana di lokasi kejadian letupan bom kereta di pekarangan sebuah kuarters polis di Narathiwat, Selatan Thailand. (FOTO: Reuters)

BANGKOK: Sekurang-kurangnya seorang pegawai polis terbunuh manakala 30 orang termasuk orang awam cedera dalam insiden letupan bom kereta pada Selasa (22 Nov) (semalam) di pekarangan sebuah kuarters polis di Narathiwat, Selatan Thailand. 

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah Narathiwat, Leftenan Kolonel Niti Suksan, insiden itu dikatakan berlaku pada pukul 12.45 tengah hari (waktu tempatan), lapor Reuters.  

“Siasatan awal berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup mendapati seorang lelaki berpakaian seperti seorang pegawai polis memandu sebuah pikap ke tempat letak kereta di pekarangan kuaters polis sebelum beredar dari kawasan itu dengan menaiki sebuah motosikal.

“Satu letupan dilaporkan berlaku di pekarangan kuarters polis apabila sebutir bom buatan sendiri seberat 50 kilogram yang dipasang pada tong gas dalam sebuah pikap dan kemudiannya diletupkan.

“Ia adalah bom kereta. Kami masih membersihkan kawasan itu dan bilangan yang cedera boleh meningkat,” ujarnya. 

Menurut pengarah Hospital Narathiwat Rajanagarinda, Pornprasit Jantra, setakat ini hospital itu telah menerima sekurang-kurangnya 31 orang mangsa letupan bom kereta mendapatkan rawatan di hospital termasuk tiga yang cedera parah.

Letupan itu menyebabkan bangunan dan kenderaan di tempat letak kereta berhampiran kuarters polis berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan teruk.

Sehubungan itu, pemangku jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, berkata Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha, telah mengarahkan polis dan pasukan keselamatan mempercepatkan siasatan dan meningkatkan lagi langkah keselamatan untuk orang ramai. 

Ketua Polis Negara, Jen Damrongsak Kittiprapat, turut melawat Narathiwat untuk memantau dan menyiasat insiden itu.

Imej di media sosial menunjukkan asap hitam berkepul-kepul dari sebuah kereta yang terbakar di dalam kawasan bertingkat rendah dan polis mengalihkan lalu lintas. Reuters tidak dapat mengesahkan imej tersebut secara bebas.

Menurut akhbar Thai The Nation, pasukan pemusnah bom polis turut menemui bom yang tidak meletup bertentangan dengan perkarangan itu, yang terletak di hadapan sekolah taska Nara Sikhalai.

Imej di media sosial menunjukkan asap hitam berkepul-kepul dari sebuah kereta yang terbakar di dalam kawasan bangunan bertingkat rendah dan polis mengalihkan lalu lintas.

Setakat ini, tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. Walau bagaimanapun, Reuters juga tidak dapat mengesahkan imej itu.

Wilayah-wilayah di selatan Thailand di sepanjang sempadan dengan Malaysia telah menyaksikan pemberontakan peringkat rendah selama berdekad-dekad, di mana kerajaan Thai telah memerangi kumpulan gelap yang mencari kemerdekaan untuk wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla yang majoritinya beragama Islam.

Letupan dan kebakaran melanda sekurang-kurangnya 17 lokasi di selatan Thailand pada Ogos tahun ini, dalam apa yang kelihatan sebagai beberapa serangan terkoordinasi telah mencederakan tujuh orang.

Menurut kumpulan Deep South Watch, lebih 7,300 orang telah terbunuh dalam konflik itu yang dikatakan bermula sejak 2004 lagi. 

Rundingan damai yang telah dilaksanakan  bermula pada 2013 telah menghadapi gangguan berulang kali. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

Read Entire Article