Lelaki maut motosikal bertembung kereta

1 month ago 36

LIPIS: Seorang penunggang motosikal berusia 43 tahun maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 22, Jalan Sungai Koyan ke Kuala Lipis hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.45 pagi, mangsa, Hasruleffandy Hasim dari Felda Jengka 16, Bandar Pusat yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR meninggal dunia di Hospital Lipis akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Proton Iswara yang dipandu Johari Mohamed, 49, seorang operator lombong dari Felda Sungai Koyan Satu bersama isterinya dalam perjalanan menghala ke arah Kuala Lipis.

“Hasruleffandy dari arah Kuala Lipis gagal mengawal kenderaannya ketika melalui sebuah selekoh lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta tersebut.

“Mangsa cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta dan isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Lipis kira-kira pukul 2 petang.

“Kes kemalangan ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

The post Lelaki maut motosikal bertembung kereta appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article